JOHOR BAHRU – “Setakat jam ini belum nampak lagi mana-mana YB datang sini ambil tahu hal kami,” itu kata Mohd Hafiz Hamdan, 52, mangsa banjir kilat di Pangsapuri Larkin Idaman Utama, di sini, yang melahirkan sedikit rasa kesal apabila nasib penduduk di kawasan itu seolah-olah tidak diendahkan pihak berwajib.

Mohd Hafiz memberitahu, walaupun kecewa kerana tidak mendapat perhatian daripada mana-mana pihak, dia dan penduduk di situ tidak boleh berbuat apa-apa selain reda dengan ujian yang melanda.

Ketika kejadian dia baru sahaja menunaikan solat Asar dan secara tiba-tiba berasa tidak sedap hati melihatkan keadaan hujan lebat secara tiba-tiba.

Beliau yang baru sahaja menjalani pembedahan di bahagian lutut hanya sempat menjerit memanggil anak lelakinya apabila menyedari air semakin naik di kawasan perumahan tersebut.

“Masa hujan rintik tu saya memang rasa tidak sedap hati, lepas sembahyang kita sandar nak berehat bila tengok hujan lebat saya pergi arah tingkap tengok di bawah air semua dah naik.

“Jiran-jiran semua kelam kabut alihkan motor dengan kereta masing-masing. Macam saya memang tidak boleh buat apa-apa sebab masalah lutut.

“Bila tak sedap hati saya tengok parit dekat bawah tu, tengok-tengok air sudah naik melempah. Jadi saya jerit dekat anak saya ‘turun bawah selamatkan kereta’. Waktu itu berterabur semua selamatkan kereta dengan motosikal masing-masing.

“Jadi anak sayalah yang terpaksa alihkan kereta sorang-sorang. Itu pun satu lagi kereta dah break down (rosak) tak boleh hidup. Bayangkan air sudah sampai paras lutut,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Mohd Hafiz yang dihubungi jam 9 malam ini memberitahu, sehingga saat ini paras air masih belum banyak berubah.

“Di bawah air memang ada, air masih tidak bergerak. Kalau bawah blok saya masih atas lutut.

“Ini pun saya intai daripada atas tengok ramai jiran di bawah tengok kenderaan masing-masing,” katanya.

Kata Mohd Hafiz, kejadian ini merupakan kali kedua selepas tahun lalu yang dikatakan berpunca daripada sebuah projek pembinaan landasan kereta api di kawasan itu.

“Sebenarnya ini punca dari longkang besar dekat sebelah blok kita memang parit besarlah. Parit besar itu sebelum ini terjejas pasal kemungkinan tersangkut ke tidak pasti disebabkan projek yang tidak siap-siap.

“Jadi mungkin ada tanah punya hal ke apa longkang dah jadi tersumbat,” katanya.

Banjir menjejaskan harta benda milik kira-kira 400 penduduk di blok A dan Blok B Pangsapuri Larkin Idaman Utama. – MalaysiaGazette