Haniza Talha PBM UMNO
Haniza Talha

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang memberikan cuti haid bagi wanita yang mengalami sakit haid teruk atau dismenorea.

Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia, Haniza Mohamed Talha berkata, cuti haid bukan baharu kerana wanita Indonesia yang mengalami sakit haid teruk boleh mengambil  sehingga dua hari cuti dalam sebulan.

Negara lain yang mempunyai cuti haid termasuk Korea Selatan, Jepun dan Taiwan manakala Sepanyol negara terbaharu meluluskan rang undang-undang sedemikian.

Menurutnya, sudah terlalu lama kesihatan haid menjadi topik yang enggan ditangani oleh ramai pembuat dasar, terutamanya dari Asia, termasuk Malaysia sedangkan kesihatan haid adalah sebahagian daripada hak wanita.

Mengabaikannya merugikan separuh penduduk negara ini, tambah beliau.

”Sesetengah wanita mengalami sakit haid yang teruk, sehingga menyebabkan sakit kepala, cirit-birit, pening, muntah, sakit di bahagian kaki atau pengsan.

“Jadi tidak adil untuk mengharapkan pesakit ini menggunakan kuota cuti sakit tahunan mereka untuk keadaan yang mungkin berulang setiap bulan,” jelas Haniza.

Tambah beliau, parti itu menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Sumber Manusia untuk menubuhkan pasukan petugas untuk meneliti perkara itu dengan segera.

Beliau juga akan menulis surat kepada kedua-dua menteri ini untuk mengemukakan pandangan berhubung cuti haid. – MalaysiaGazette