Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersalaman dengan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som pada hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri APMM 2022 di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melumpuhkan pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan melibatkan rampasan bernilai RM22.9 juta menerusi Op Pagar Laut.

Operasi khas itu telah dilancarkan sejak 19 April hingga 17 Mei lalu sempena musim perayaan dan memfokuskan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), kontraband (barangan larangan dari dieksport) serta barangan kawalan di sempadan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sebanyak 63 kes direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan di perairan negara yang meliputi kes PATI, kontraban, barang kawalan, pencerobohan bot nelayan asing serta lain-lain jenayah maritim.

Sebanyak 12 kes tangkapan membabitkan PATI direkodkan yang membawa kepada penahanan ke atas 48 warga asing iaitu 21 orang dari Indonesia, Vietnam (10), Kemboja (9),, Myanmar (4), Filipina (3) dan seorang warga Thailand yang cuba memasuki dan keluar secara haram melalui perairan.

“Kes pencerobohan perairan oleh bot nelayan asing merekodkan penahanan 15 not nelayan asing serta 160 kru warga Vietnam,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Maritim Malaysia di sini hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Dalam perkembangan Op Pagar, Mohd Zubil menambah, kes berkaitan aktiviti jenayah kontraband dan penyeludupan barang kawalan telah merekodkan 13 kes yang melibatkan empat kes penyeludupan rokok di perairan Semporna, Sabah.

Katanya, dua kes daun ketum seberat 2.18 tan berjaya dipatahkan di perairan Perlis dan masing-masing satu kes penyeludupan minyak masak, petrol, dadah, mercun dan tong gas dengan nilai rampasan sebanyak RM448,860.

“APMM turut melakukan 23 kes tangkapan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, melibatkan sembilan kes bot nelayan tempatan.

“Enam kes Ordinan Perkapalan Saudagar serta lapan kes berkaitan Enakmen Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

“Pihak kami akan akan terus mempertingkatkan operasi bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.

“Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di setiap Maritim Negeri seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette