Zainuren dibebaskan daripada tuduhan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini membebaskan seorang pengetua sekolah menengah di negeri ini atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya pada tahun 2018.

Hakim Noor Aini Yusof membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir pendakwaan terhadap tertuduh, Zainuren Mohamed yang berusia 58 tahun.

Mahkamah turut memerintahkan wang ikat jamin RM54,000 yang dibayar tertuduh sebelum ini dikembalikan.

Dalam penghakiman itu, Noor Aini memberitahu, tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan berdasarkan kredibiliti saksi yang terdiri daripada mangsa serta guru.

Zainuren kelihat sebak selepas mahkamah memutuskannya bebas daripada tuduhan amang seksual.

Beliau berkata, terdapat juga jurang dalam kes pendakwaan kerana mereka gagal memanggil saksi utama kerana dia adalah orang pertama yang membuat tuntutan serangan seksual.

Alasan penghakiman penuh akan disediakan sekiranya ada rayuan daripada pihak pendakwaan.

Pada Januari 2019, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki berusia 11, 13 dan 14 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah di sini antara pukul 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April hingga 10 Oktober 2018.

Tertuduh yang ketika itu merupakan pengetua di sebuah sekolah di Butterworth didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Di luar mahkamah, peguam tertuduh, E. Gnasegaran berkata, keputusan itu adil kerana terdapat percanggahan material dalam tuntutan masa, tempat dan bagaimana kejadian yang didakwa berlaku di pejabat pengetua dan asrama.

Beliau berkata, pihak pembelaan juga membangkitkan ia bermotifkan dendam susulan dakwaan itu dibuat selepas pengetua mengambil tindakan tatatertib terhadap seorang pelajar dan seorang guru berhubung kes buli.

“Tuntutan serangan dibuat tiga hari selepas pengetua mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar dan guru itu. Pelajar itu dinamakan mangsa dan guru itu menjadi saksi dalam perbicaraan.

“Malah pada masa tangkapan, terdapat dakwaan kanak-kanak lelaki itu diliwat tetapi mereka kemudian menafikan kejadian itu berlaku semasa perbicaraan.

“Selain itu, pemeriksaan perubatan juga menunjukkan tiada penembusan atau petunjuk serangan seksual,” katanya.

Zainuren bersama isterinya ketika ditemui di luar kamar mahkamah.

MalaysiaGazette difahamkan, pengetua berkenaan digantung tugas hampir empat tahun sejak didakwa di mahkamah.

Sementara itu, Zainuren ketika ditemui di luar kamar mahkamah meluahkan rasa syukur dengan keputusan itu yang disifatkan dapat membersihkan kembali namanya selepas mendakwa dianiaya.

“Saya bersyukur dan terima kasih kepada isteri yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya sepanjang kes hingga ke hari ini,” jelasnya dengan nada sebak. – MalaysiaGazette