Kamarul Zaman menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota dan pegawai JSPT yang berjaya

JOHOR BAHRU – Polis telah menerima lima laporan berhubung penipuan melibatkan penjualan tiket penerbangan ke Korea Selatan yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warganegara berkenaan di Johor sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket penipuan itu telah dikesan bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Menurut beliau, penipuan itu melibatkan jumlah kerugian bernilai RM59,125.

Kamarul Zaman menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota dan pegawai kontinjen JSPT yang berjaya berada tempat ke-3  seluruh negara dalam OP Selamat 2022 .

“Saya nak berkongsi disini ada kes menarik iaitu berkaitan dengan penipuan tiket penerbangan ke Korea dan kita telah membuat tangkapan seorang wanita dipercayai warganegara Korea dan rakyat Malaysia yang telah membuka satu akaun bagi tujuan itu.

“Kita dapati ada lima kes melibatkan warganegara Korea telah ditipu oleh sindiket inidi Johor dan melibatkan kerugian lebih RM50,000,”katanya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT ) di Ibu Pejabat Kontinjen Johor (IPK) hari ini.

Hasil siasatan mendapati penipuan berkenaan didalangi sepasang lelaki dan wanita, masing-masing seorang warganegara tempatan dan seorang warganegara Korea di mana mereka menyasarkan rakyat negara berkenaan yang mahu pulang ke negara asal mereka.

Difahamkan, pasangan yang berusia 20-an dan 30-an itu telah ditahan polis di Sabah beberapa hari lalu dan akan dibawa ke Johor untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada 11 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya telah menerima 20 laporan berhubung penipuan berkenaan dengan kerugian bernilai RM233,954.

Beliau dilaporkan berkata, penipuan itu diiklankan di laman web http://cafe.naver.com/mymalaysia yang memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan didakwa dikendalikan syarikat Apsan Travel and Tour Sdn. Bhd.

“Mangsa membeli tiket penerbangan yang diiklankan kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Namun setelah pembayaran dibuat, mangsa gagal memperoleh tiket penerbangan yang dibeli,” katanya.- MalaysiaGazette