Nancy Shukri (dua dari kiri) melakukan flag-off Kembara Lebaran sempena Aidilfitri anjuran SAM di Bangi hari ini.

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Superbikers, Malaysia (SAM) mampu memainkan peranan sebagai ‘duta pelancongan’ Malaysia ke luar negara ketika mengadakan ekspedisi bagi mempromosikan destinasi menarik yang terdapat di negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana gabungan itu telah menganjurkan pelbagai ekspedisi permotoran sejak 2005 di dalam negara termasuk di negara ASEAN selain memiliki ahli yang ramai.

Menurut beliau, usaha itu juga secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang meminati sukan permotoran, sekali gus dapat merancakkan sektor pelancongan sukan.

“MOTAC mengucapkan tahniah kepada SAM yang juga merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang komited dalam memartabatkan sukan permotoran serta aktif melaksanakan aktiviti khidmat tanggung sosial korporat (CSR) dalam membantu memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara.

“Saya berharap SAM dapat meningkatkan usaha untuk mendampingi golongan belia agar mereka menjadi pemimpin masa depan yang berfikiran jauh dan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan dalam mencorakkan hala tuju negara agar lebih cemerlang dan progresif, termasuk dalam industri pelancongan, seni dan budaya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Flag-Off Kembara Lebaran sempena Aidilfitri anjuran SAM di Bangi hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SAM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden SAM, Datuk Abdul Halim dan Timbalanya, Datuk Sulaiman Sami’an.

Kembara Lebaran anjuran SAM bermula hari ini sehingga Ahad ini disertai lebih 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi bermula dari Bangi- Johor-Kuantan- Kelantan-Sg.Petani-Pulau Pinang -Lumut dan berakhir di Bangi.

Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, MOTAC telah menyediakan Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya (GPPSB) melalui Bajet 2022 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50 juta.

Kata beliau, inisiatif itu bertujuan menyemarak dan merancakkan semula sektor pelancongan dan kebudayaan yang terjejas teruk susulan penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun yang lalu.

“Ia bertujuan membantu para penggiat industri dari pelbagai sektor dan latar belakang termasuk pihak NGO dalam penganjuran program atau acara pelancongan, seni dan budaya berimpak tinggi pada sepanjang tahun ini.

“Saya menyarankan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program atau acara berbentuk pelancongan yang mana dapat memberikan impak positif kepada industri pelancongan negara untuk memohon bagi mendapatkan geran ini bagi mencapai matlamat yang telah dinyatakan tadi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, ekspedisi itu bertujuan menyemarakan kembali aktiviti pemotoran berkuasa tinggi selepas berhadapan pandemik Covid-19 melebihi dua tahun.

Beliau berkata, selain dapat mewujudkan silaturahim dalam kalangan peserta ia juga dapat mengetengahkan aktiviti bermanfaat kepada peserta. – MalaysiaGazette