Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak melakukan sebarang pecah amanah terhadap dana Yayasan Akalbudi miliknya.

Sebaliknya Ahmad Zahid mendakwa, beliau terpaksa memindahkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM17,953,185.21 ke dalam akaun firma guaman Tetuan Lewis & Co. berikutan kesilapan dan kecuaian Setiausaha Eksekutif, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang dirugaskan mengurus akaun peribadi bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan yayasan berkenaan.

Katanya, Mazlina terlalu cuai dan sering kali memberikan pelbagai alasan dalam mengendalikan akaun-akaun peribadinya menyebabkan beliau berdepan dengan pendakwaan penyewelengan Yayasan Akalbudi.

“Saya tidak ada pilihan selain mencari jalan supaya wang yang ada dalam simpanan semasa di bank iaitu keseluruhan dana Akalbudi dipindahkan ke sebuah firma guaman.

“Di sana ada akauntan dan pegawai akaun serta penyimpan kira-kira yang bertauliah menjaga akaun pelanggan.

“Saya membuat keputusan pemindahan itu dilakukan bukan untuk pecah amanah tetapi menggunakan sebuah syarikat guaman yang mempunyai pegawai yang berketerampilan untuk menjaga akaun pelanggan sebagai pemegang amanah wang Yayasan Akalbudi,” katanya ketika membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid berkata, walaupun dana telah dipindahkan ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co. namun wang itu masih milik yayasan tersebut.

Sebelum ini Ahmad Zahid mendakwa Mazlina telah melakukan pelbagai kecuaian antaranya gagal memahami dan membaca penyata kad kredit miliknya sehingga menyebabkan pembayaran kad kredit tidak mencukupi dan berlebihan.

Katanya, Mazlina telah memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau tidak tahu, tidak pasti dan tidak ingat berkenaan pengurusan bil-bil kad kreditnya selain mengaku cuai dalam mengendalikan perbelanjaan kad tersebut.

Ahmad Zahid berkata, Mazlina tidak pernah menunjukkan penyata bulanan kad kredit kepadanya walaupun pernah diminta.

“Dia (Mazlina) kata akan memberi penyata kad kredit kepada saya dan dia akan ke pejabat saya, saya tunggu tetapi dia tidak datang dan buat-buat lupa, tiap kali tanya pelbagai alasan diberikan kepada saya.

“Yang Arif, saya seorang yang sangat sibuk, saya mengutamakan tugas untuk kementerian dan negara sebab itu saya tidak dapat mengesan berlakunya kecuaian oleh Mazlina dalam menguruskan kewangan peribadi saya dan Yayasan Akalbudi,” dakwanya dalam penyataan.

Prosiding bersambung. – MalaysiaGazette