Tuanku Zara Salim memotong kek sambutan 25 tahun UPSI selepas melafazkan pelancaran Nombor Pendaftaran Kenderaan UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

TANJUNG MALIM – Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini berkenan berangkat
mencemar duli meraikan majlis sambutan Aidilfitri dan sambutan permasyhuran 25
tahun UPSI.

Sempena majlis yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan
Azlan Shah itu, Baginda turut melancarkan siri nombor pendaftaran kenderaan
UPSI iaitu “UG” yang bermaksud “(Universiti Guru) untuk mengimbau kenangan
terutama kepada alumni Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (SITC, MPSI, IPSI,
UPSI).

Dengan pelancaran nombor pendaftaran kenderaan itu, ia akan membantu
penjanaan universiti dengan lebih mampan di bawah UPSI Holding Sdn Bhd.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam sembah ucapan berkata, UPSI mensasarkan untuk muncul sebagai universiti 100 tercemerlang di dunia dalam bidang pendidikan seterusnya merapatkan ukhuwah komuniti melalui pelbagai program usahasama pendidikan, pemantapan ekonomi, kesukarelawanan dan pembangunan selaras hasrat negara memasyarakatkan universiti.

“Tahun ini genaplah 25 tahun penubuhan universiti yang ulung lagi bersejarah
ini. Tanggal keramat 1 Mei 1997, Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dinaik taraf
menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Mei 1997,” katanya.

Kini, UPSI ditunjangi sembilan fakulti dan Institut Pengajian Siswazah
(IPS) yang menawarkan lebih 150 program pengajian pra dan pasca siswazah
selaras dengan perkembangan dan keperluan pendidikan pengajian tinggi negara.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1 Mei 1997, banyak kejayaan dicapai
UPSI termasuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Data Kanak-Kanak Negara
(NCDRC), Muzium Pendidikan Nasional, Adventure Leadership & Outdoor Leadership Academy (AURORA), UPSI Adventure Park (UAP), Sekolah Pondok Bitara, Center of Pedagogical Research & Innovation (CPRI), Zaaba Studio dan Pusat Pendidikan Hijau yang menjadi rujukan utama di dalam dan di luar negara.

“Malah UPSI amat berbangga apabila diamanahkan Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Keluarga Malaysia dan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Automotif Negara (CAART) di universiti yang bertuah ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, UPSI akan bersama Proton – Geely, DRB Hicom dan industri setempat yang diharapkan dapat membantu industri automotif negara di
samping memacu kemajuan ekonomi di daerah Muallim.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata pendidik lepasan UPSI atau Ibu Kandung Suluh Budiman melakar pelbagai kejayaan sepanjang 25 tahun setelah melalui pelbagai liku dan onak duri untuk membina legasi dan kemasyhuran sehingga peringkat antarabangsa.

“Saya ingin melihat hubungan kerjasama UPSI dengan Kerajaan Negeri Perak sentiasa diperkukuhkan dalam memartabatkan bidang pendidikan anak-anak Perak termasuk anak orang Asli menerusi pakar-pakar UPSI dengan kerjasama Northern Corridor Economic Region (NCER),” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast