Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid bercakap kepada media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Dewan Mentari Movenpick Sepang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 26 MEI 2022.

SEPANG – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengemukakan inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup bagi pelajar tajaan Majlis Amanah Mara (Mara) di luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan bertemu dengan semua pelajar di luar negara bagi sesi libat urus bersama KPLB.

“Pihak MARA sendiri sudah ada inisiatif sendiri untuk nak lihat berapa jumlah yang patut ditambah,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia KPLB bagi tahun 2022 hingga 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan II, Datuk Hasbi Hibibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlah Harun.

Justeru itu, katanya, satu sesi libat urus akan diadakan KPLB bersama-sama pelajar-pelajar tajaan Mara di United Kingdom bagi mengetahui situasi sebenar mengenai tekanan kos sara hidup mereka di sana.

“Malah saya sendiri akan berjumpa dengan pelajar-pelajar di United Kingdom tidak lama lagi untuk adakan sesi dialog dan ingin tahu mengenai kos sara hidup mereka.

“Ini kerana kos sara hidup di seluruh dunia naik jadi kita akan dapat rumuskan. Bila sudah dirumuskan KPLB akan angkat kepada kerajaan,” katanya lagi.

Pada 12 Mei lalu, Mahdzir berkata satu penelitian semula kadar elaun pelajar luar negara tajaan MARA akan dibuat berdasarkan kos yuran pengajian, lokasi pengajian dan kadar pembayaran utiliti.

Memberi jaminan laporan penelitian semula itu akan disegerakan, Mahdzir berkata, proses tersebut sedang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi suatu kajian berkaitan kenaikan kos sara hidup pelajar tajaan Mara di luar negara khususnya di United Kingdom (UK) dan Ireland.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KPLB akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi membantu meningkatkan kualiti capaian internet di luar bandar.

Langkah itu, katanya, bagi memastikan capaian internet terutamanya di sekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara.

“Kita tahu kawasan mana yang kurang capaian internet dan tempat yang selalu mengalami kekurangan capaian internet adalah sekolah Kemas di bawah KPLB.

“Sekarang ada 11,000 Kemas di seluruh negara, jadi berapa ribu sahaja yang ada capaian internet. Kalau dekat dengan bandar, capaian internet bagus tapi jauh bandar capaian internet mereka rendah,” katanya.

Katanya, langkah itu difikirkan wajar bagi membantu kerajaan untuk meningkatkan capaian internet di negara ini. – MalaysiaGazette