Datuk Zamri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyahut cabaran perdana menteri untuk menguasai pasaran ayam di negara ini bagi mengatasi isu bekalan makanan tersebut.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas Datuk Zamri Yaakob berkata, pihaknya menyasarkan untuk memproses dan memasarkan 500,000 ayam sehari untuk tempoh jangka masa panjang.

Menurutnya, untuk memastikan perancangan itu berjaya dilaksanakan, Nafas akan mengetuai satu pasukan bertindak yang terdiri daripada beberapa kementerian, agensi kerajaan dan pelbagai pihak lain.

“Rancangan jangka panjang kita akan jumpa terutama persatuan penternak ayam, agensi dan penternak ayam individu.

“Semalam kita telah bincang dengan satu syarikat untuk ambil alih kilang memproses ayam iaitu di utara dan Selangor dengan kapasiti 160,000 ekor sehari. Nafas sendiri akan tingkatkan proses 40,000 ayam sehari. Jadi sudah ada 200,000 sehari.

“Kita akan besarkan lagi sekurang-kurangnya menjadi 500,000 sehari di bawah agensi lain,” katanya kepada MalaysiaGazette dan menambah perancangan tersebut bermula tahun ini.

Zambri berkata, pihaknya akan membentangkan perancangan itu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Sebelum ini perdana menteri mahu Nafas menguasai industri penternakan ayam supaya kumpulan kartel tidak mengawal harga di pasaran.

Beliau pada 18 Mei lalu berkata, rantaian bekalan ayam perlu dikuasai Nafas agar tidak ada pihak mengambil kesempatan sehingga mengugut kerajaan.

Ismail Sabri yakin Nafas mampu melaksanakan tanggungjawab itu kerana mempunyai 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir satu juta ahli di seluruh negara.

Zambri berkata, bagi melaksanakan tanggungjawab berkenaan, Nafas memerlukan geran berjumlah RM300 juta.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab keluarkan geran untuk membantu Nafas melaksanakan tugas ini. Kita memerlukan sekurang-kurangnya RM300 juta.

“Geran ini untuk membina pusat pemeliharaan ayam baharu, nak besarkan kilang proses ayam dan pusat penyembelihan ayam,” katanya.

Sementara itu bagi mengatasi masalah bekalan ayam dalam jangka masa pendek, Nafas akan mengimport ayam dari Thailand bermula bulan depan.

“Sumber paling dekat kita nampak Thailand. Negara ini eksport ayam ke negara Arab dan sebagainya. Thailand ada hab halal. Negara Arab melihat Thailand boleh mengeluarkan ayam yang diakui halal.

“Untuk jangka pendek kita bawa masuk ayam dahulu. Nak pelihara ayam ada banyak faktor. Pertama kena keluarkan anak ayam sendiri, lepas itu kita kena bina sebanyak mungkin pusat pelihara ayam dan kita perlukan pusat penyembelihan,” terang Zamri.

Untuk rekod, ketika ini negara memerlukan bekalan ayam berjumlah 1.2 juta ekor sehari.

Masalah bekalan ayam dipasaran menjadi kritikal sejak seminggu lalu selepas beberapa ladang ditutup dengan alasan ayam belum mencapai berat jualan akibat masalah penggemukan haiwan itu yang terjejas.-MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast