Jurugambar akhbar The Sun menarik seorang wanita yang cuba bunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang pada Mac lalu.

GEORGE TOWN – Penduduk sekitar Pulau Pinang menggesa Kerajaan Persekutuan, syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang serta kerajaan negeri memasang penghadang bagi mengelakkan kejadian bunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang berterusan.

Rata-rata mereka meminta kajian dibuat berhubung pemasangan penghadang besi, jaring serta kamera litar tertutup bersama pembesar suara di atas jambatan tersebut.

Seorang pekerja swasta, Amiruzi Ayob, 37, isu keselamatan bagi pengguna jambatan itu tiada masalah namun jalan sesak kerap disebabkan kes bunuh diri, secara tidak langsung membebankan pengguna yang melalui kawasan tersebut.

Amiruzi.

“Saya pernah berdepan situasi terperangkap dalam kesesakan hampir dua jam ekoran insiden bunuh diri berlaku ketika itu.

“Orang ramai memperlahankan kenderaan mereka dan ada yang berhenti bagi melihat pihak berkuasa melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Jadi saya rasa sudah ada keperluan untuk pihak berkaitan khususnya pihak konsesi Jambatan Pulau Pinang mengkaji langkah yang perlu diambil bagi mengelakan kejadian bunuh diri berlaku yang mana pengguna jambatan turut terkena tempias kesannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Salimah Hussein, 44, berkata, pemasangan penghadang besi dilihat menjadi satu keperluan bagi mengelakan individu tertentu menjadikan Jambatan Pulau Pinang sebagai tempat bunuh diri.

Salimah.

“Saya percaya sekiranya penghalang besi, jaring mahupun CCTV bersama pembesar suara dipasang, ia akan mengurangkan kejadian bunuh diri di tempat itu.

“Sebagai individu yang melayari media sosial serta pembaca akhbar tempatan saya bimbang kejadian bunuh diri yang kerap dilaporkan itu mempengaruhi orang lain untuk turut mengikuti perbuatan sama.

“Kita tak nak Jambatan Pulau Pinang yang gah itu dikenali sebagai tempat bunuh diri ia merosakkan imej negeri ini secara tidak langsung di mata pelancong asing,” jelasnya.

Dharmeswary.

Sementara itu, K. Dharmeswary, 47, berkata, isu orang awam menamatkan riwayat di atas jambatan itu bukan sesuatu yang baharu namun kekerapan insiden itu ketika ini mengundang kegusaran terhadap orang ramai.

“Kes bunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang itu ikut trend tapi kita mahu pihak berkaitan tangani isu ini daripada ia menjadi barah pada masa hadapan.

“Jika kos pemasangan penghadang besi atau lain-lain itu terlalu tinggi pihak berkaitan harus mencari jalan lain untuk menangani isu bunuh diri ini termasuk menempatkan peronda secara berkala atau memasang suis panggilan kecemasan khas yang disambungkan terus kepada unit befrienders atau sebaliknya.

“Letakkan papan iklan ayat-ayat motivasi, sensor bersertakan penggera yang boleh memberi amaran kepada pihak konsesi ada kenderaan berhenti di atas jambatan itu sekali gus pihak peronda boleh tiba untuk memeriksa punca keberadaan individu berkenaan. Kita tidak boleh biarkan isu ini habis ikut musim,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast