Majlis Makan Malam Tautan Kasih Eratkan Ukhwah EXSAS 78-82 menggabungkan bekas pelajar dari tahun 1978 sehingga 1982 diadakan di IPK Pahang pada Sabtu lalu.

KUANTAN – Sambutan sepanjang bulan Syawal lebih bermakna apabila sekumpulan 100 bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) meraikan 13 guru sempena majlis Hari Raya Aidilfitri.

Lebih bermakna, majlis tersebut bertujuan merapatkan ukhwah dalam kalangan pendidik dan bekas anak murid julung pertama kali diadakan selepas 40 tahun mereka meninggalkan alam persekolahan.

Bekas guru SEMSAS, Mohd Annuar Ismail berkata, kebanggaan seorang guru apabila berjaya mendidik para pelajarnya dari segi ilmu, akhlak dan adab sehingga mereka menjadi insan berguna.

“Yang penting akhlak dan adab yang dipamerkan dipelihara sehingga kini, itulah kejayaan sebenar kami kepada anak murid. Contohnya hari ini saya melihat pelajar yang berpangkat besar mencium tangan menghormati guru yang sudah tua.

“Pendidikan kami ajarkan sampai peringkat adab dengan memberi ilmu kepada budak cerdik sangat mecabar tetapi yang lebih penting dapat mendidik mereka menjadi insan berguna kepada masyarakat,” katanya.

Menerusi ucapan, beliau yang juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Tahun 2000 berbangga dengan pencapaian pelajarnya kini berjaya dengan pencapaian masing-masing.

Selain menjadi penjawat awam dan orang penting dalam jabatan kerajaan, ada dalam kalangan pelajarnya juga  meneruskan perjuangan beliau sebagai guru.

Majlis Makan Malam Tautan Kasih Eratkan Ukhwah EXSAS 78-82 menggabungkan bekas pelajar dari tahun 1978 sehingga 1982 diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang pada Sabtu lalu menggamit memori pelajar sekolah tersebut.

Bagi bekas pelajar yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed berkata, penganjuran majlis hari raya tersebut juga simbolik mengenang jasa guru-guru mereka.

“Sambutan Syawal kali ini pada bulan Mei, berkesempatan Mei juga ialah sambutan hari guru jadi bertepatan semua juga dapat berkumpul kali ini.

“Kalau dulu pernah jumpa secara berkumpulan kecil-kecilan tapi kali ini apabila 100 bekas pelajar dapat sertai bersama bekas guru-guru, ia lebih bermakna,” ujarnya.

Tambah Ramli, menerusi majlis tersebut kata sepakat diambil bagi merancang aktiviti tahunan bagi menghubungkan semula sesama mereka. – MalaysiaGazette