Firdaus Wong (kiri) dan T. Arunakirinathan.

KUALA LUMPUR – Pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung hanya menuntut RM8,000 daripada T. Arunakirinathan selepas menang saman fitnah terhadap aktivis sosial tersebut hari ini.

Menurut Firdaus, tujuan beliau menyaman Arunakirinathan bukan atas niat untuk memperoleh pampasan yang banyak.

Namun sebaliknya saman fitnah berkenaan bagi menepis fitnah dan untuk menegakkan kebenaran.

“Alhamdulilah. Syukur pada Allah kerana pada 23 Mei 2022 saman fitnah saya ke atas Arunakiri Nathan telah selesai.

“Menerusi penghakiman persetujuan, Arunakiri Nathan diperintahkan untuk menarik balik fitnah-fitnah serta memohon maaf kepada saya menerusi tulisan dan video di akaun media sosialnya.

“Atas dasar ihsan memandangkan beliau juga telah kalah saman fitnah kepada Dr. Maza sebanyak RM100,000 dan atas nasihat peguam saya menerima baik tawaran pampasan RM8,000 sebagai kos kerana tujuan saman bukan kerana duit tetapi untuk menepis fitnah dan menegakkan kebenaran,” katanya melalui media sosial.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Arunakirinathan memohon maaf dan membayar pampasan kepada pendakwah bebas itu.

Menerusi penghakiman persetujuan, Arunakirinathan, 38, diperintahkan untuk menarik balik fitnah serta memohon maaf kepada Firdaus menerusi tulisan dan video di akaun media sosialnya.

Penghakiman melalui sidang video di hadapan Hakim Ahmad Bache’ turut memerintahkan Arunakirinathan selaku defendan membayar kos sebanyak RM8,000 kepada Firdaus selaku plaintif.

Menerusi penghakiman persetujuan itu juga, defendan diarah secara bertulis dan melalui rakaman video untuk memohon maaf secara terbuka kepada Firdaus di Facebook.

Firdaus menfaikan saman terhadap Arunakirinathan pada 25 Jun 2019.

Pada 28 April 2021, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) menang saman yang difailkannya terhadap Arunakirinathan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kenyataan fitnah yang dibuat pada 2018.

Hakim Ishak Bakri mengarahkan defendan Arunakirinathan membayar ganti rugi RM150,000, selain kos sebanyak RM20,000 kepada Asri yang memfailkan saman fitnah itu pada 25 Februari 2019.

Saman itu difailkan terhadap catatan Arunakirinathan di akaun Facebook bawah nama “Arunakiri Nathan” pada 26 dan 27 Nov 2018 yang antara lainnya mendakwa Asri ingin menghancurkan kuil dan terbabit dalam penculikan seorang pastor. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast