Murid-urid, guru-guru dan PEMADAM UMS mengambil gambar kenangan selepas program.

KOTA KINABALU – Lebih 300 kakitangan dan murid Sekolah Kebangsaan
(SK) Jawi-Jawi, Kota Belud menyertai Program Drugs in Society (Drugs-Ciety’22)
anjuran Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia
Sabah (UMS) baru-baru ini.

Dengan tema “Give Hugs, Not Drugs”, program itu antara lain bertujuan memberi
pendedahan dan pendidikan kepada pelajar dan masyarakat mengenai bahaya
penyalahgunaan dadah.

Majlis perasmiannya disempurnakan Guru Besar SK Jawi-Jawi, Mohamat Japar
Aris.

Menurut Japar, peranan sekolah dalam membendung peningkatan kes dadah adalah
penting bagi membentuk kemenjadian generasi baharu yang berkualiti dan mampu
memberi sumbangan kepada kemajuan negara pada masa akan datang.

“Pengamalan norma baharu dalam membendung penularan wabak Covid-19 tidak
akan menemui kejayaan sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik oleh setiap
lapisan masyarakat.

“Demikian juga dalam isu penyalahgunaan dadah. Kita perlu memutuskan rantaian
aktiviti-aktiviti yang berkaitan penyalahgunaan ini secara tuntas bermula di peringkat
awal usia lagi.

"Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan negara terutamanya
generasi muda daripada ancaman dadah dan masalah jenayah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Afrina Shafri Khan memaklumkan, program Drugs-
Ciety’22 juga merupakan platform perkongsian pendapat dan cadangan bagi
menyuarakan strategi untuk menangani aktiviti tidak bermoral berkenaan.

Katanya, adalah menjadi harapan agar melalui program itu sekali gus memberi
kesedaran dan menghindarkan generasi muda daripada terlibat dengan musuh
nombor satu negara tersebut.

“Dengan adanya usaha kolaboratif yang digerakkan secara bersepadu ini, saya
percaya penularan penyalahgunaan dadah dalam komuniti khususnya golongan
generasi muda mampu dibendung daripada semakin parah,” katanya. – MalaysiaGazette