KUALA LUMPUR – Penyanyi, Khai Bahar mengakui kurang selesa apabila ada yang cuba menjodohkannya dengan rakan duet nyanyiannya.

Katanya, tindakan berkenaan dikhuatiri akan menimbulkan isu sekiranya beliau bekerjasama dengan penyanyi lain pada masa akan datang.

“Yang tak bestnya apabila ada orang nak usik-usik kami. Yang nak jodohkan kami. Untuk saya dan rakan duet, perkara sebegitu buatkan kami rasa kurang selesa.

“Kami berduet sebab bekerja, bukan sebab nak bercinta. Apabila timbul isu-isu sebegitu, saya pun risau macam mana nak berduet dengan penyanyi lain. Lagipun saya nak bekerjasama dengan ramai penyanyi pada masa akan datang.

“Saya tak mahu kalau perkara sebegini timbul sampai saya dan rakan duet takut nak tangkap gambar bersama. Saya nak orang di luar sana lebih terbuka,” katanya.

Khai berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran lagu duet terbaharunya bersama penyanyi Lia Aziz berjudul Kaulah Syurga yang juga OST Drama 7 Hari Mencintaiku 3.

Bagaimanapun beliau menghargai sokongan peminat-peminatnya meskipun sering tampil duet bersama penyanyi wanita.

Khai berkata, perkara yang paling utama apabila tampil dengan lagu duet adalah mendapatkan keserasian agar sesebuah lagu itu dapat disampaikan dengan baik.

“Peminat selalu support dengan siapa sahaja saya berduet. Apa yang paling utama adalah nak mencari keserasian dengan pasangan duet.

“Apabila orang nampak kami serasi, alhamdulillah. Kiranya dah nampak hasil kerja kami itu berjaya apabila keserasian itu menjadi,” tambahnya.

Sebelum ini, Khai pernah bergandingan bersama Siti Nordiana menerusi lagu Satukan Rasa dan Aina Abdul menerusi lagu Nafas Cinta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast