Radzi Md Jidin RMT Supplementary Food Programme white rice with gravy
Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang tamat kontrak pada 9 Jun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Katanya, pelanjutan berkenaan bertujuan membolehkan proses berkaitan pelantikan mereka sebagai guru di bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan.

“Guru COS 2020 yang akan tamat pada Jun ini, jangan risau. Kita dapat maklum balas daripada SPP semalam bahawa tempohnya akan dilanjutkan bagi membolehkan segala proses dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) di sini, hari ini.

Pada 5 Mei lepas, Radzi dilaporkan berkata, nasib 2,600 guru COS ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

Dalam pada itu, Radzi berkata keputusan temu duga guru COS bagi pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan DG41 secara one-off tahun 2021 telah diumumkan oleh SPP semalam.

Calon boleh menyemak keputusan temu duga melalui portal SPP di pautan www.spp.gov.my manakala urusan penempatan calon yang berjaya akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Mengenai pembinaan sekolah baharu tersebut, Radzi berkata, projek yang menelan kos hampir RM38 juta dengan kapasiti 36 bilik darjah itu, dijangka siap pada November 2023 dan mula beroperasi pada Januari 2024.

“Pada masa ini, murid SK Putrajaya Presint 8(3) menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 11(2) sejak 2020, melibatkan 439 murid di 18 bilik darjah.

“Ia (pembinaan sekolah baharu) merupakan sebahagian daripada usaha KPM dalam memastikan kawasan yang penduduknya meningkat setiap tahun secara konsisten, diberi satu keutamaan dalam konteks pembinaan sekolah baharu mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan sekolah tersebut juga akan mewujudkan penempatan untuk seramai 96 guru dan 13 kakitangan pentadbiran.

Sehingga kini terdapat 16 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah di Putrajaya. – Bernama