Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat lawatan mengejut ke HSA hari ini.- Gambar FB Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Syarikat konsesi diminta segera mengambil tindakan segera membaik pulih jalan sekitar Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Arahan itu dikeluarkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mengadakan lawatan mengejut ke HSA di sini hari ini.

HSA merupakan hospital awam utama dan antara hospital awam yang tersibuk di Malaysia.

Onn Hafiz juga telah secara peribadi menghubungi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tentang situasi berkenaan.

“Kami telah meminta syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera bagi membaikpulih jalan-jalan di sekitar hospital serta memperindahkan semula landskap hospital ini.

“Kerja-kerja baik pulih dicadangkan dibuat pada waktu malam agar tidak menggangu urusan pesakit-pesakit di siang hari,” katanya di media sosialnya hari ini.

Selain itu, Onn Hafiz juga telah menghubungi Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Kerja Raya agar peruntukan bagi menaiktaraf fasiliti dan kemudahan HSA dapat diluluskan pada kadar segera.- MalaysiaGazette