KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dirinya merupakan ‘katak politik’ yang melompat dari satu parti lain ke parti lain.
Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menegaskan, dia bukan ahli parti Bersatu yang ‘melompat’ keluar daripada parti itu untuk menyertai parti yang lain.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa tidak pernah sama sekali menggugurkan keahlian atau meletakkan jawatan daripada Bersatu.
Sebaliknya, dia telah dipecat daripada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tersebut.
“Maaf saya bukan katak. Banyak kali saya nyatakan, saya dipecat bukan keluar Bersatu. Saya masuk politik sebab nak lawan rasuah bukan nak jadi perasuah,” katanya dalam ciapan Twitter.
Tambah Syed Saddiq, beliau tidak pernah mengkhianati mandat diberikan oleh rakyat kepadanya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu sehingga dipilih sebagai Ahli Parlimen Muar.
Beliau menegaskan ‘katak politik’ banyak dalam parti kerajaan yang mentadbir negara ketika ini.
“Saya tak akan khianat mandat rakyat. Yang lompat parti itu, ada dalam Kerajaan hari ini. Boleh tanya mereka,” kata Syed Saddiq.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar aliran perdana yang menyenaraikan namanya bersama-sama sebilangan ahli Parlimen yang melompat parti.
Akhbar tersebut turut meletakkan gambar muka ahli parlimen terbabit di muka hadapan dengan tajuk ‘Segara Gubal RUU Anti Lompat Parti’.
Turut disenaraikan adalah Ahli Parlimen Simpang Rengam, Dr. Maszlee Malik, Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Mohamed Ali dan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada 28 Mei 2020, media melaporkan keahlian Syed Saddiq digugurkan daripada Bersatu.
Turut digugurkan adalah Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, Datuk Amiruddin Hamzah dan Maszlee.
Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya.
Mereka berlima diserahkan surat berkenaan dan keputusan dibuat setelah mereka enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen pada 18 Mei 2020.- MalaysiaGazette