Antara pemain bola sepak yang akan mewakili daerah Kuantan pada kejohanan peringkat negeri.

KUANTAN – Seramai 60 penduduk masyarakat Orang Asli mewakili daerah Kuantan terpilih bagi menyertai  Karnival Sukan Orang Asli Negeri Pahang 2022 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melalui sesi pemilihan atlet semalam.

Pegawai JAKOA Daerah Kuantan, Ridwan Mokhtar berkata, pemilihan dilakukan bagi membentuk pasukan yang mewakili  peringkat negeri di Perkampungan Orang Asli Batu 14 di sini sepanjang Jun nanti.

Jelasnya, sebanyak empat acara sukan dipertandingkan seperti menyumpit, bola jaring, bola sepak dan sepak takraw merupakan penganjuran kali kedua selepas tahun 2019 lalu.

Sesi latihan di gelanggang takraw di Perkampungan Orang Asli Batu 14 Kuantan semalam.

“Pertandingan menyumpit diadakan di Temerloh 4 dan 5 Jun, bola jaring pada 11 dan 12 Jun  serta pertandingan bola sepak akan diadakan pada 18 dan 19 Jun manakala minggu terakhir iaitu 25 dan 26 Jun pula diadakan acara sepak takraw.

“Mereka yang memenangi peringkat negeri nanti akan mewakili Pahang pada peringkat kebangsaaan pada tahun ini dan paling bertuah apabila Pahang juga menjadi tuan rumah bagi peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung pada Ogos nanti.

ARTIKEL BERKAITAN :

Polis pakai tempok, menyumpit dekati masyarakat Orang Asli

Penyertaan terbuka bagi menggalakkan penglibatan golongan belia khususnya dari umur 16 sehingga 45 tahun menyertai pertandingan.

Sesi latihan bola jaring oleh peserta wanita terbuka bagi berumur 18 hingga 45 tahun di Kuantan semalam.

Justeru pemilihan atlet Orang Asli bagi daerah Kuantan dilakukan dengan membuat saringan daripada peserta di keenam-enam buah perkampungan pribumi berkenaan di Kuantan.

Antara Orang Asli yang terlibat ialah Kampung Sungai Mas, Kampung Bukit Bangkung, Kampung Gedung Siam, Kampunga Sungai Soi, Kampung Batu 14 dan Kampung Paya Bungor.

Chong Ah Fai

Sementara itu Pengerusi JKKK Perkampungan Orang Asli Sungai Soi, Chong Ah Fai berkata, pemilihan dan latihan untuk kepada 17 atlet sangat mencabar kerana perbezaan mengikut kategori umur penyertaan.

“Namun apabila terapkan nilai kesukanan kerana penyertaan sudah lebih baik kali ini kerana diberi pendedahan dan peluang lebih besar kerana pertandingan kali ini bukan lagi setakat peringkat kampung.

“Yang bagusnya apabila penyertaan sukan ini memberi manfaat pertukaran bahasa antara sesama Orang Asli sendiri seperti daripada kaum orang Jakun, Jahot dan Semai,” katanya. – MalaysiaGazette