Mohamed Rizal Kamarudin (kanan) semasa program bersama Orang Asli di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Usaha polis bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli diteruskan dengan menghayati adat golongan pribumi itu dengan memakai topi tempok dan menyertai aktiviti menyumpit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohamed Rizal Kamarudin berkata, seramai 10 pegawai polis memakai topi tradisional itu bersama masyarakat Kampung Orang Asli, Batu 14 dekat sini hari ini menerusi kempen mencegah jenayah.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati sesi dialog adalah aktiviti kali kedua penganjurannya di perkampungan orang Asli daripada enam keseluruhan perkampungan Orang Asli di daerah itu dilihat berjalan lancar.

Pertemuan empat mata itu dilakukan bersama pemimpin masyarakat Orang Asli dan ketua-ketua bahagian Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan disertai oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli dan penduduk.

Tambah Rizal, tanggunjawab menjaga dan mendekati masyarakat untuk bagi mengurangkan indeks kadar jenayah bagi kelompok itu meskipun kadarnya sangat kecil.

“Tugas polis sentiasa mengingatkan masyakat agar menjauhi jenayah selain daripada tanggungjawab diri bagi menggelakkan jadi mangsa jenayah.

“Penduduk di sini juga diberi penerangan tentang kesedaran bagi peraturan dan keselamatan jalan raya tambahan lokasi perkampungan mereka berhampiran bandar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Memegang konsep ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ pihaknya berhasrat meneruskan program seumpama itu di empat lagi kampung Orang Asli dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan bagi memperkukuhkan hubungan dua hala.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung berkenaan, Khairul A/L Kin Moon ketika ditemui bersyukur pertemuan yang berlangsung merupakan pendekatan dan diterima baik oleh penduduk.

“Ini kali pertama melihat rombongan pihak polis masuk ke kampung kami dan menyertai aktiviti di sini membuka mata bahawa polis sentiasa bersama masyarakat.

“Anak-anak muda seronok teruja tengok polis beruniform dan memakai tempok duduk bersama kami, menjadi contoh kepada golongan belia.

“Ia mungkin secara tidak langsung membuka hati masyarakat Orang Asli untuk terbabit dalam karier polis dan berani untuk menjali telinga dan mata pihak berkuasa dalam menjaga keamanan kampung,” katanya. – MalaysiaGazette