GEORGE TOWN – Dilema penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam di sini berhubung pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) berhampiran Taman Mekar Sari mendapati perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah hari ini.
Wakil rakyat Pas itu akan membawa masalah yang membelenggu penduduk tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang bersidang sekarang.
Jelas beliau, usul itu akan dibentangkan bagi mendapatkan penyelesaian kepada penduduk yang bimbang timbul pelbagai masalah sosial dan kesihatan membabitkan warga asing sekiranya cadangan pembinaan itu diteruskan.
“Saya akan bawa isu penduduk ini dalam sidang DUN bagi mendapatkan penjelasan yang jelas membabitkan pembinaan asrama warga asing seperti yang didakwa.
“Saya bukan ADUN kawasan itu tetapi sebagai wakil rakyat saya tetap akan bawa isu ini untuk pengetahuan ahli sidang dewan agar mereka dapat satu kata putus daripada pihak kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan DUN Pulau Pinang di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Yusni menerima memorandum daripada wakil penduduk berhubung masalah pembinaan kuarters CLQ berhampiran Taman Mekar Sari.
Dalam masa sama, beberapa penduduk daripada taman perumahan terlibat membuat bantahan aman bertentangan bangunan DUN Pulau Pinang dengan masing-masing memegang kain rentang membantah pembinaan tersebut.
Rata-rata mereka meluahkan rasa kecewa susulan kebenaran merancang sudah diberikan bagi pembinaan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi namun tidak sangka ia termasuk cadangan pembinaan asrama pekerja asing.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada 20 Mei lalu melaporkan penduduk sekitar Bertam dan Pinang Tunggal bimbang kehidupan mereka akan terganggu sekiranya pembinaan CLQ di kawasan terbabit.
Pembinaan asrama pekerja itu dibangunkan berikutan cadangan pembangunan Kawasan Perindustrian Berteraskan Teknologi Tinggi di tapak seluas lebih 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin berkata, pihaknya membantah cadangan pembinaan pembangunan kuarters pekerja berpusat di kawasan Bertam itu yang dianggap tidak sesuai. – MalaysiaGazette