Roslan Saidin

SEBERANG PERAI – Penduduk di sekitar Bertam dan Pinang Tunggal bimbang kehidupan mereka akan terganggu sekiranya pembinaan Kuarters Pekerja Berpusat atau atau Centralized Labour Quarters ( CLQ ) dilakukan di kawasan terbabit.

Pembinaan asrama pekerja itu dibangunkan berikutan cadangan pembangunan Kawasan Perindustrian Berteraskan Teknologi Tinggi di tapak seluas lebih 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Difahamkan, akibat pembangunan yang akan dijalankan itu bakal memberi kesan kepada penduduk setempat yang melibatkan hampir 20 kampung dan 11 taman perumahan termasuk menjejaskan kualiti hidup mereka.

Bukan sahaja soal keselamatan dan keselesaan yang dipertikaikan, malah kebanyakan penduduk yang menghuni di sekitar kawasan ini termasuk beberapa taman perumahan yang baharu dibuka tidak sanggup menjalani kehidupan dengan pelbagai ancaman sekiranya projek berkenaan diteruskan.

Pembinaan asrama pekerja itu dibangunkan berikutan cadangan pembangunan Kawasan Perindustrian Berteraskan Teknologi Tinggi di tapak seluas lebih 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin berkata, pihaknya membantah cadangan pembinaan pembangunan kuarters pekerja berpusat  di kawasan Bertam itu yang dianggap tidak sesuai.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius berkaitan isu ini dan membantah cadangan pembinaan tujuh blok 10 tingkat dormitori pekerja-pekerja CLQ yg akan menempatkan ribuan pekerja-pekerja  asing.

“Kita khuatir kebanjiran ribuan pekerja asing boleh menganggu gugat ketenteraman dan keselesaan rakyat tempatan yang sedia ada.

“UMNO Kepala Batas berpandangan pembinaan CLQ di dalam kawasan tersebut amat tidak sesuai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Roslan, walaupun pihaknya dimaklumkan cadangan pembangunan CLQ ini belum pun dikemukakan oleh pemaju kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mendapatkan kebenaran merancang namun pihaknya berpendapat amat wajar untuk UMNO merekodkan bantahan awal terhadap cadangan pembangunan CLQ di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette