Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Kemenangan tidak rasmi Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR mendapat perhatian Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Johor itu secara sinis berkata, ia merupakan isyarat ahli-ahli parti itu kini menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden.

“Kemenangan besar Rafizi amat mengejutkan. Ia penolakan terhadap Anwar. Ia juga tekanan kepada Anwar supaya bersara awal. Pengaruh Anwar merosot luar dan dalam

“Majoriti ahli PKR memberi signal, Anwar bukan lagi poster boy atau calon PM yang boleh diharap. Apatah lagi ramai pemimpin pro Anwar tewas di peringkat cabang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media rata-ratanya melaporkan Rafizi secara tidak rasminya memenangi kerusi kedua tertinggi PKR itu semalam.

Rafizi didakwa memenangi lebih 69,000 undi manakala Saifuddin memenangi hampir 50,000 undi.

Dalam pada itu, Puad menyifatkan pencabar Rafizi, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempunyai kekuatannya tersendiri.

Saifuddin, katanya, mempunyai kesetiaan pada parti yang tiada tolok bandingnya.

“Tetapi kesetiaan pada parti ketika susah dan senang tidak dapat membantunya untuk menang. Putar alam macam Rafizi lebih diterima.

“Tiada jaminan PKR adalah parti reformasi. Gandingan baru Anwar-Rafizi mengekalkan PKR sebagai parti retorik. Kedua duanya pakar persepsi. Mereka berdua memang sebati,” katanya lagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa, segala keputusan rasmi mengenai Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 dan 26 Jun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast