Siti Bainun
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Abd. Razali hadir ke mahkamah bagi pendengaran permohonan untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kes membabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mendera remaja orang kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai Bella bersambung hari ini selepas lebih sebulan terhenti sejak 20 April lalu.

Pihak peguam Siti Bainun dijangka memanggil saksi kelima pihak pendakwaan Yasmin Nahar Mahmood, 19 bagi menyambung semula sesi soal balas.

Pada 20 April lalu, Yasmin yang merupakan antara saksi penting kes tersebut hadir ke mahkamah namun tidak dapat memberikan keterangan berikutan tidak sihat.

Saksi berkenaan adalah bekas penghuni Rumah Bonda dan penghuni kondominium dekat Wangsa Maju yang didakwa menjadi lokasi kejadian Bella didera.

Sebelum ini, ketika memberi keterangan di mahkamah, Yasmin antara lain mendakwa beliau telah diarahkan oleh Siti Bainun untuk menggigit perut Bella yang menghidap penyakit sindrom Down.

Beliau turut mendakwa Siti Bainun mengarahkannya untuk mengambil picagari berisi air panas untuk dipancutkan kepada Bella sebagai hukuman kerana tidak mendengar cakapnya.

Bagaimanapun dalam sesi soal balas, pasukan peguam Siti Bainun mempertikaikan keterangan yang diberikan oleh Yasmin termasuk mendedahkan laporan perubatan menunjukkan Bella tidak dipaksa makan cili.

Peguam pembela turut memainkan video memaparkan kehidupan bahagia Jasmin di kondominium tersebut termasuk meraikan hari jadi, sambutan Aidilfitri dan percutian.

Sebelum ini saksi menyatakan dia dilayan seperti hamba abdi ketika tinggal di kondominium berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi. -MalaysiaGazette