Banjir di Penedo, Alagoas, Brazil, Mei 2022 . Foto: Perbandaran Penedo

RIO DE JANEIRO – Lebih 100 orang hilang atau disahkan maut di Brazil ketika tanah runtuh dan banjir besar akibat hujan lebat melanda beberapa kawasan kejiranan bandar di bahagian timur laut.

Ia merupakan peristiwa banjir besar keempat dalam tempoh lima bulan.

Kemusnahan itu juga berlaku apabila saintis mula mempersoalkan sama ada kitaran hujan yang tidak normal di negara terbesar di Amerika Latin itu boleh menjadi akibat daripada perubahan iklim.

Sehingga petang Ahad, 56 orang telah meninggal dunia di negeri timur laut Pernambuco dan seorang meninggal dunia di negeri Alagoas, menurut mesej yang disiarkan di Twitter oleh perkhidmatan Pertahanan Awam Persekutuan, yang bertanggungjawab ke atas pengurusan kecemasan.

Manakala 56 orang dilaporkan hilang di Pernambuco.

Di antara kedua-dua negeri itu, lebih 6,000 orang telah tiba di pusat bantuan yang ditetapkan kerajaan dan lebih daripada 7,000 orang berteduh di kediaman saudara mara, kata perkhidmatan Pertahanan Awam Persekutuan.

Dalam kenyataan di Twitter, Presiden Brazil Jair Bolsonaro berkata, beliau akan tiba di Recife, ibu kota Pernambuco yang terjejas teruk.

Pada penghujung Disember dan awal Januari, berpuluh-puluh terbunuh dan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal apabila hujan melanda negeri Bahia, yang terletak di timur laut Brazil.

Sekurang-kurangnya 18 maut dalam banjir di negeri tenggara Sao Paulo pada Januari lalu.

Pada Februari, hujan lebat di negeri Rio de Janeiro membunuh lebih 230 orang. – Reuters