Gambar hiasan

MUTAKHIR ini, teknologi geospatial telah berjaya meningkatkan keupayaan dan mengubah cara hidup kita pada hari ini dan pada masa hadapan. Kemajuan teknologi geospatial hari ini membolehkan kita menentukan lokasi tepat objek atau manusia di planet kita. Teknologi geospatial mengaitkan kedudukan objek dengan koordinat geografinya. Konsep ini bukan baharu, dan ia pada asalnya digunakan untuk memerhati lokasi dengan merpati atau belon, terutamanya untuk tujuan membuat peta. Senarai asas teknologi geospatial merangkumi penderiaan jauh (Remote Sensing – RS), sistem kedudukan global (Global Positioning System – GPS) dan sistem maklumat geografi (Geographic Information System – GIS).

Sehingga kini, manusia secara keseluruhannya telah menggunakan teknologi geospatial dalam pelbagai konteks tanpa disedari. Antara penggunaan utamanya adalah dalam aplikasi navigator untuk kereta, sehinggalah kepada penderiaan jauh berskala besar melalui satelit yang mengorbit bumi. Di samping itu, teknologi geospatial juga telah digunakan secara meluas dalam hampir setiap sektor, industri dan penyelidikan. Dalam tempoh 10 tahun terkini, teknologi geospatial telah berjaya digunakan untuk menghadapi keputusan penting dalam pelbagai industri, daripada pembuatan kepada pasaran kewangan.

Pengenalpastian data geospatial membolehkan pemantauan, pengesanan, mengukur, menilai, mengenal pasti dan pemodelan dibuat. Lebih mengujakan, teknologi geospatial juga telah menyokong sebahagian besar analisa data pandemik Covid-19. Selain itu, pelbagai jenis penderiaan jauh membolehkan analisa objek dilakukan atau permukaan pada jarak yang jauh dengan menggunakan ciri pemantulannya. Pakar boleh memeriksa sifat sasaran dan membuat kesimpulan yang sepadan dengan mengesannya menggunakan peranti aktif atau pasif, mengukur dan menganalisis tindak balas yang diterima.

Satelit mengorbit planet kita dan menjana imej berdasarkan pelbagai sumber pengumpulan data dan kaedah teknologi geospatial. Semakin canggih sistem yang digunakan, pengesanan objek dapat diperolehi sehingga satu meter atau lebih kecil.
Sistem GPS terawal merupakan rangkaian satelit yang dibina oleh kerajaan Amerika Syarikat yang mampu memberikan koordinat lokasi yang tepat kepada pengguna awam dan tentera menggunakan peralatan penerima yang sesuai. Sistem GPS ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu satelit di angkasa lepas, pusat kawalan di bumi dan penerima atau peranti penerima isyarat satelit di tangan pengguna, seperti telefon pintar atau jam tangan pintar. Sementara itu, GIS menggabungkan data spatial dan bukan spatial, imej penderiaan jauh, titik data GPS untuk menghuraikan satu sistem yang lengkap. Justeru, ia membolehkan pengguna mengumpulkan dan menganalisis maklumat yang diperlukan pada berbilang lapisan, termasuk ketinggian, spesies tumbuh-tumbuhan, kesihatan hutan, jalan raya, permukaan air, haiwan, dan lain-lain.

Mengapa teknologi geospatial penting?

Sudah pasti, melalui inovasi dalam teknologi geospatial ini akan dapat membantu pelbagai industri dan sektor utama ekonomi dalam mencari solusi kepada permasalahan semasa. Jika di awal perkembangannya, akses data dan skala aplikasinya adalah sangat terhad. Kini, kepentingan teknologi geospatial jauh melangkaui keperluan kartografi atau ketenteraan. Justeru, teknologi geospatial membolehkan pengesanan objek yang dipersoalkan dan merujuknya ke lokasi tertentu. Ciri ini akan dapat membantu pihak berkaitan dalam menyelesaikan kerja-kerja saintifik mahupun bukan saintifik, kerajaan dan bukan kerajaan, tentera dan awam. Skop penggunaan data geospatial adalah luas di mana ia merangkumi setiap bidang atau industri yang mana kedudukan geografi penting.

Antara contoh tipikal aplikasi teknologi geospatial dalam aktiviti harian adalah seperti berikut:
 Ekologi – Mengesan populasi spesies di kawasan tertentu, mencegah dan menangani bencana.
 Pertanian – Menilai keadaan tumbuh-tumbuhan pada rupa bumi yang dipilih.
 Perhutanan – Mengesan kebakaran hutan dan penebangan hutan dan mencegah kebakaran hutan berskala besar.
 Pemasaran dan pengiklanan – Menyasarkan iklan ke wilayah yang berkaitan.
 Logistik – Mengesan dan memastikan barangan selamat sampai ke pembeli.
 Pengangkutan – Mengenal pasti lokasi dan masa ketibaan, membuat laluan dan navigasi.
 Penjagaan kesihatan – Memantau kawasan penularan wabak.
 Meteorologi – Merujuk ramalan cuaca kepada wilayah tertentu.
 Hartanah – Mengvisualisasikan dan menganalisis objek hartanah dari jauh.

Masa depan teknologi geospatial di Malaysia

Perkembangan maklumat geospatial yang merupakan teknologi berasaskan peta membuka peluang kepada pertumbuhan industri dan perkhidmatan. Sudah pasti, masa hadapan teknologi geospatial sangat luas dan mampu mencipta pekerjaan baharu. Perkembangan ini adalah selari dengan agenda pembangunan lestari dan revolusi industri IR4.0, di mana hampir setiap inci kehidupan menuju ke arah pendigitalan.

Justeru, bidang geospatial di Malaysia perlu dikembangkan secara meluas sebagai usaha memanfaatkan teknologi ini. Sebagai contoh, UiTM Cawangan Perak telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan program baharu seperti Diploma Teknologi Geospatial. Penawaran pengambilan pelajar pertama bagi program ini telah pun bermula pada sesi semester Mac 2022 yang lalu. Program selama lima semester ini merupakan satu-satunya program di peringkat diploma di universiti awam yang menawarkan program berasaskan GIS, RS, GPS dan teknologi terkini.

Program ini juga menawarkan kursus berkaitan teknologi terkini, data raya dan analitik, pengaturcaraan komputer dan mudah alih serta pembangunan pengkalan data dan menjadikan TVET sebagai teras utama program. Program diploma yang ditawarkan ini juga diselia oleh wakil industri dalam memastikan program ini kekal releven dalam industri. Usaha ini penting bagi memastikan graduan yang dihasilkan adalah memenuhi kehendak dan keperluan semasa pasaran yang mengutamakan pembangunan lestari.

Gs Sr Ts Izrahayu Che Hashim
Pensyarah Kanan,
Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast