Datuk Khairul Anwar Rahmat, the lawyer appointed by the Crown Prince of Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar to hold watching brief for the abuse and neglect trial of Bella, the 13 years old Down Syndrom girl involving the founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 20 APRIL 2022.
Datuk Khairul Anwar Rahmat, the lawyer appointed by the Crown Prince of Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar to hold watching brief for the abuse and neglect trial of Bella, the 13 years old Down Syndrom girl involving the founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 20 APRIL 2022. Peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat hadir bagi mengikuti perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kumpulan peguam pemerhati kepada remaja kelainan upaya (OKU) yang didera, Bella, akan mempersembahkan hasil dapatan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum dimaklumkan kepada orang ramai.

Salah seorang peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya ketika ini telah meneliti sepenuhnya keterangan saksi pertama pendakwaan (SP1) hingga (SP5) kelima dalam kes yang melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

“Peguam pemerhati akan membuat kesimpulan mengenai perkara itu apabila kami bersidang dalam kumpulan. Kita juga akan buat hujahan cadangan dan dapatan kerana SP1 hingga SP5 agak signifikan.

“Apa-apa juga dapatan daripada kami, sebelum kami memaklumkan kepada mana-mana pihak kami akan dipersembahkan kepada Tunku Mahkota Johor dan isteri.

“Kami dapat banyak maklum balas daripada ramai pihak yang menjunjung kasih ke atas keprihatinan tuanku berdua kerana memberi kesedaran dalam kes ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Khairul Anwar berkata, pihaknya akan mendengar keterangan beberapa saksi lagi sebelum mempersembahkan dapatan kepada Tunku Ismail.

Khairul Anwar ditemui ketika mengikuti kes berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersambung hari ini selepas 30 hari ditangguhkan sejak 20 April lalu.

Pada 17 April lalu, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma dalam menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan remaja berkenaan.

Selain Khairul Anwar, tiga lagi peguam pemerhati adalah Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

Sementara itu Khairul Anwar berkata, sebarang kesimpulan dan dapatan yang dibuat oleh pihaknya tidak akan dipengaruhi oleh sentimen masyarakat.

“Apa yang berada di luar sana sentimen masyarakat awam dan apa yang berlaku di dalam mahkamah ada dua perkara yang berbeza. Dalam pada kita teruja dengan kes ini kita wajar meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mahkamah terutama hakim.

“Kita di sini bukan untuk menegakkan benang yang basah atau menghukum mana-mana pihak tapi untuk mencapai keadilan.

“Kerana itu adalah prinsip yang pertama iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.

Serentak itu, beliau meminta supaya kes berkenaan disegerakan bagi memberikan keadilan kepada si tertuduh dan juga mangsa.

Siti Bainun, 30, didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Wanita itu, yang kini dibicarakan atas pertuduhan tersebut didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette