Penduduk Mukim 5 daerah Seberang Perai Selatan melakukan bantahan aman berhubung masalah bekalan air di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Masalah air di Mukim 5 daerah Seberang Perai Selatan (SPS) semakin meruncing apabila urusan pengebumian seorang lelaki pada Jumaat lalu terganggu selepas tiada air untuk memandikan jenazah tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penggerak (Sementara) Masalah Air di Mukim 5 SPS, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, urusan memandikan jenazah tersebut di Hospital Sungai Bakap ditangguhkan 30 minit sementara menunggu tangki air daripada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Khairul Ahmad Fitri.

Jelas beliau, lebih mengeruhkan keadaan ketika ini, penduduk terpaksa mengubah rutin harian mereka susulan bekalan air diperoleh dari jam 1 pagi hingga 5 pagi.

“Masalah gangguan bekalan air di sini sudah berlaku sejak 2019 namun semakin meruncing sejak seminggu lalu terutamanya di kawasan perumahan penduduk.

“Tempoh paling lama gangguan air selama 15 jam dan pada hari raya ketiga baru ini ia mencecah hingga 20 jam.

“Situasi ini menyebabkan masalah kehidupan harian berubah malah pihak sekolah juga terpaksa meminta pelajar asrama pulang ke rumah,” katanya selepas menyerahkan memorandum berhubung isu tersebut kepada Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Pulau Pinang, Yap Lee Ying.

Terdahulu, kira-kira 30 wakil penduduk dari Mukim 5, SPS mengadakan bantahan aman di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri bagi mendesak kerajaan negeri di bawah pimpinan Chow Kon Yeow menyelesaikan masalah bekalan air dihadapi mereka.

Kawasan terlibat ialah Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Kampung Sungai Duri, Kampung Sungai Baong dan Permatang Ara yang terletak di kawasan Sungai Jawi dekat sini.

Ramakrishna.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Taman Seruling Emas, G. Ramakrishna berkata, penduduk telah mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak namun tiada sebarang tindakan dibuat bagi mengatasi isu tersebut.

“Bayangkan air tak ada tapi kami perlu membayar bil air pada kadar yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Kami memang kesal kerana pihak bertanggungjawab gagal menyediakan kemudahan yang sepatutnya kepada pengguna gagal berbuat demikian dengan alasan sumber air perlu diagihkan kepada projek perumahan atau kawasan perindustrian lain.

“Adalah menjadi syarat untuk sebarang projek baharu supaya pemaju mengenal pasti sumber air mencukupi dan diluluskan oleh PBAPP sebelum mendapat kebenaran merancang,” tegas beliau.

Seorang penduduk, Nurilyana Abdul Rashid, 29, mendakwa air yang diterima penduduk tidak bersih hingga menyebabkan kesihatan anaknya terjejas.

Nurilyana.

“Anak-anak saya kini ada masalah gatal-gatal dan saya bimbang jika ia berpunca dari masalah air tidak bersih.

“Selain itu, kami terpaksa mencatu air untuk mandi selain untuk kegunaan lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette