Baharom (kanan) bersama Khairil Anuar menunjukkan buku pelan strategik CBP yang dilancarkan di The Light Hotel, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – Co-opbank Pertama (CBP) melancarkan buku pelan strategik 2022-2026 untuk menjadikannya sebuah bank koperasi yang terunggul menjelang lima tahun akan datang.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, pelan strategik itu memberi fokus kepada empat teras strategik meliputi aspek Kewangan, Modal Insan & Pelanggan, Proses Dalaman dan Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG).

Jelas beliau, ia turut disokong lima fokus yang meliputi kepelbagaian produk dan perkhidmatan, peningkatan kecekapan organisasi, pengukuhan pemantauan dan kawalan, alam sekitar, sosial dan ESG serta amalan kerja berprestasi tinggi.

Baharom.

“Kita jangkakan pelan strategik itu dapat meningkatkan keyakinan pelanggan seterusnya melonjakkan jenama CBP sebagai sebuah entiti yang mampan.

“Selain itu, kita juga percaya menerusi pelan ini CBP mampu menyediakan perkhidmatan perbankan yang komprehensif selain tumpuan kepada pelaksanaan perancangan yang lebih efektif bagi memastikan objektif dapat dicapai.

“Namun bagi merealisasikan pelan tersebut, ia memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya selepas  melancarkan Buku Pelan Strategik itu di The Light Hotel di sini hari ini.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri juga diadakan pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurusan Kanan CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar serta Pengarah SKM, Norlelah Samsudin. – MalaysiaGazette