Zairil.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperoleh RM75.35 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan sejak Januari hingga 30 April lalu.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, Kerajaan Negeri menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan setiap tahun dan ia disalurkan secara bulanan.

“Peruntukan MARRIS yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Pulau Pinang pada 2021 adalah berjumlah RM208.76 juta manakala bagi tahun ini pula RM75.35 juta diperuntukan setakat 30 April lalu.

“Pengagihan peruntukan MARRIS adalah mengikut Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri.

“Semua jabatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengemukakan senarai projek penyelenggaraan jalan negeri yang hendak dilaksanakan kepada Jabatan Kewangan Negeri (JKN) bagi tujuan penyaluran peruntukan pada awal tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. – MalaysiaGazette