BANGI – Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) memiliki tindakan yang berbeza dengan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dalam mengendalikan isu skandal dalam syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Perjanjian penyelesaian di antara DoJ dengan Low Taek Jho atau Jho Low adalah perkara berasingan dengan Kerajaan Malaysia yang masih memburu ahli perniagaan tersebut.
“Kita kena bezakan tindakan Malaysia mencari Jho Low ini yang berasingan dengan DOJ. DOJ ada tindakan jenayah sendiri ke atas Jho Low dan boleh buat apa yang dia suka dan itu hak dia.
“Tetapi apa-apa sahaja pemulihan yang dia buat, dia akan beri balik duit itu kepada Malaysia.
“Sekarang kita punya isu adalah persetujuan penyelesaian yang telah dibuat satu ketika dulu oleh kerajaan sebelum ini iaitu penyelesaian dibuat dengan Goldman Sachs yang janji akan bayar RM1.4 bilion.
“RM2.5 bilion sudah bayar dan dia janji RM1.4 bilion dan di situ ada pertikaian sebab dia enggan bayar sebab dia kata kita sudah dapat bayak duit.
“Kita belum pulih sepenuhnya dan dalam proses banyak lagi benda henda buat, dia kena penuhi dia punya persetujuan dan sekarang jadi pertikaian,” katanya selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB ((TOT MPOB 2024) di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Jho Low yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB bersetuju memulangkan harta berjumlah AS$100 juta atau kira-kira RM471 juta.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan, apa sahaja tindakan pemulihan yang dibuat, DOJ tetap akan memulangkan wang kepada Malaysia walaupun ketika ini berdepan pertikaian persesetujuan di antara kerajaan dan Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs).
Tindakan Jho Low dan keluarganya itu bagi menyelesaikan kes pelucuthakan sivil berhubung peranannya dalam skandal rasuah dan penyelewengan dana 1MDB.
Ditanya sama ada Malaysia akan terus memburu Jho Low, Johari menegaskan, langkah itu di luar bidang kuasa Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB.
“Bukan saya yang patut buru, pihak berkuasa yang patut buru Jho Low,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan tindakan Jho Low dan keluarganya dalam menyelesaikan kes pelucuthakan sivil berhubung peranannya dalam skandal rasuah dan penyelewengan dana 1MDB.
Media melaporkan lucuthak itu telah diumumkan oleh Jabatan Kehakiman DOJ selepas Hakim Daerah AS, Dale Fischer di Los Angeles meluluskan perjanjian persetujuan dengan Jho Low serta keluarganya pada Isnin lepas.
Antara yang diserahkan oleh Jho Low termasuk sebuah apartment mewah di Paris dan karya seni serta Claude Monet dan Andy Warhol dengan nilai mencecah ratusan juta ringgit
Jabatan Kehakiman menyatakan bahawa Jho Low membayar kira-kira AS$35 juta (RM146.57 juta) untuk lukisan Monet ‘Vetheuil au Soleil’, lukisan Warhol ‘Colored Campbell’s Soup Can (Emerald Green) 1965 dan apartmen di Paris.
Dia dan keluarganya difahamkan akan menyerahkan harta berjumlah AS$67 juta (RM280.47 juta), termasuk hartanah dan akaun bank di Hong Kong, Singapura dan Switzerland.
Sebelum ini beberapa aset sudah dilucuthakkan dengan nilaian hampir AS$1 bilion (RM4.19 bilion), termasuk ‘superyatch’ bernilai AS$120 juta (RM503 juta) milik Jho Low dan keluarganya. – MalaysiaGazette