Produk keluli yang dikeluarkan oleh Leon Fuat.

KUALA LUMPUR – Pendapatan Leon Fuat Berhad (Leon Fuat) meningkat sebanyak 29.1 peratus kepada RM273.02 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM211.48 juta pada suku yang sama tahun kewangan tahun lalu.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat yang terlibat dalam perniagaan perdagangan, pemprosesan dab pembuatan produk keluli, pengkhususan dalam produk keluli bergulung panjang dan rata menurun kepada RM31.81 juta berbanding  RM42.53 juta tempoh sama tahun lalu.

Manakala keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM23.89 juta, susut 33.8 peratus daripada RM36.11 juta pada suku sama pada tahun kewangan sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How, Pengarah Eksekutif berkata, syarikat merekodkan hasil  lebih tinggi secara keseluruhan disebabkan oleh purata harga jualan yang lebih tinggi untuk kedua-dua dagangan dan pemprosesan.

Bagaimanapun, syarikat merekodkan penurunan 8.8 mata peratusan dalam keseluruhan margin keuntungan kasar kepada 16.4 peratus dalam suku dalam tinjauan berbanding tahun sebelumnya.

“Kami terus mencari jalan untuk mempelbagaikan perniagaan seperti yang telah kami lakukan melalui pelaburan dalam pengeluaran paip keluli dikimpal pada 2018.

”Fasa 1 kemudahan dengan dua barisan pengeluaran telah beroperasi manakala dua lagi barisan pengeluaran sedang dipasang dan dijangka beroperasi pada suku kedua tahun kewangan ini.

”Kami juga telah memulakan Fasa 2 kemudahan yang kami jangka ditauliahkan sepenuhnya pada separuh kedua 2023 yang akhirnya akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kami.” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, segmen dagangan produk keluli kumpulan mencatatkan peningkatan 21.1 peratus dalam hasil kepada RM90.00 juta dalam suku pertama itu berbanding RM74.29 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Segmen pemprosesan produk keluli mencatatkan kenaikan 33.4 peratus dalam hasil kepada RM182.93 juta berbanding RM137.11 juta yang dicapai pada tempoh tersebut.

Jelasnya, prospek perniagaan pada tahun ini kekal tidak berubah kerana pertumbuhan global dijangka perlahan dengan ketara pada tahun ini disebabkan oleh konflik Russia-Ukraine yang telah merentasi pasaran komoditi, perdagangan dan sedikit sebanyak hubungan saling berkaitan kewangan.

Memandangkan risiko penurunan telah meningkat dengan ketara, Leon Fuat telah meningkatkan pemantauan pergerakan harga keluli dan mata wang asing yang berkaitan serta akan mengambil langkah proaktif termasuk merundingkan kontrak hadapan, jika perlu, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast