Wartawan Malaysia, Mohd Zaini Samsu Hadi (kiri) menerima Aungerah daripada Ahmad pada Majlis Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022 di Kota Bharu, hari ini.

KOTA BHARU – Peranan yang dimainkan oleh usahawan anak-anak Kelantan dalam menjadikan negeri Cik Siti Wan Kembang sebagai negeri maju dan makmur diharapkan berkekalan sampai bila-bila.

Harapan itu dizahirkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang memuji kerjasama baik yang disumbangkan oleh golongan tersebut selama ini.

Menurutnya, golongan usahawan Kelantan telah memainkan peranannya dengan baik dalam membantu kerajaan negeri menaik taraf ekonomi.

”Oleh itu, saya berharap gerakan secara bersepadu melalui usaha sama pelbagai agensi seperti Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Negeri Kelantan dengan sokongan agensi pelaburan MIDA serta agensi-agensi lain dapat dijalankan.

“Saya percaya berkat kerjasama semua pihak termasuk golongan usahawan dalam membangunkan negeri serta membantu masyarakat akan memastikan Kelantan terus membangun, aman dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022 di, sini hari ini. Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022, Shahir Adnan.

Ahmad berkata, beliau menghargai tokoh-tokoh usahawan Kelantan yang secara langsung dan tidak langsung mengambil bahagian dalam membantu masyarakat yang memerlukan dalam pelbagai program kebajikan.

“Saya mendoakan agar semua para usahawan khususnya di negeri Kelantan akan berkembang maju sehingga ke peringkat antarabngsa, selain menjadi contoh kepada anak-anak muda Kelantan Untuk bergiat dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Pada majlis itu MalaysiaGazette menerima Anugerah Komunikasi Media Berita Online Unggul 2022 yang diterima Wartawan Eksekutifnya, Mohd Zaini Samsu Hadi.

Pelbagai kategori ditampilkan pada malam anugerah tersebut dengan kebanyakannya berkait dengan bisnes keusahawanan. – MalaysiaGazette