Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik  berikutan kekurangan ubat-ubatan tertentu di pasaran.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik  berikutan kekurangan ubat-ubatan tertentu di pasaran.

Pembelian panik sebenarnya sudah berlaku selepas ekonomi dibuka semula.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai menyifatkan kekurangan bekalan ubat turut disebabkan oleh ‘permintaan yang belum pernah terjadi sebelum ini’ kerana kadar jangkitan varian Omicron Covid-19 yang tinggi hingga mengejutkan pengeluar dan pengedar farmaseutikal.

Namun, beliau berharap kekurangan ubat-ubatan tertentu ini dapat ditangani dan bekalan kembali berada di pasaran semula.

“Jika situasi ini tidak diperbetulkan, kemungkinan bekalan ubat lain yang sebelum ini tidak terjejas juga akan terganggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan kebimbangan Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) tentang kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik-klinik swasta ekoran beberapa pembekal utama tidak dapat memenuhi permintaan.

Presiden Perdim, Dr Boi Saidi Abdul Razak mendakwa, pembekal memaklumkan masalah ini wujud kerana mereka tidak mendapat bahan mentah yang mencukupi untuk menghasilkan ubat.

Akibatnya, klinik-klinik swasta kini mengalami penyusutan bekalan ubat demam, batuk dan antibiotik.

Mengulas lanjut, Kar Chai meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik dan menyimpan ubat-ubatan yang tidak diperlukan kerana ia boleh memburukkan keadaan.

Tambahan pula, katanya, industri farmaseutikal sudahpun bertindak balas terhadap lonjakan permintaan dengan membuat tempahan lebih tinggi untuk produk daripada pengeluar luar negara.

Beliau berkata, pengilang-pengilang tempatan juga telah meningkatkan kapasiti pembuatan namun kapasiti mereka bergantung kepada bahan mentah yang perlu diperoleh dari negara-negara lain.

Memandangkan kekurangan itu merupakan masalah di seluruh dunia, katanya, import kedua-dua produk siap serta bahan mentah telah terjejas.

Pengilang tempatan dihadkan oleh kapasiti mereka untuk meningkatkan pengeluaran, dan mereka “tidak boleh meningkatkan pengeluaran hanya untuk mengatasi kekurangan bekalan di pasaran”.

Beliau berkata selain bahan mentah, kilang pembuatan dibina mengikut spesifikasi tertentu yang mungkin tidak membenarkan sebarang peningkatan mendadak dalam kadar pengeluaran. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Klinik swasta kekurangan ubat, betulkah pembekal kekurangan bahan mentah?