KUALA LUMPUR – Klinik-klinik swasta di negara ini didakwa berdepan dengan kekurangan bekalan ubat sejak kebelakangan ini ekoran beberapa pembekal utama tidak dapat memenuhi permintaan.
Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Boi Saidi Abdul Razak mendakwa, pembekal memaklumkan masalah ini wujud kerana mereka tidak mendapat bahan mentah yang mencukupi untuk menghasilkan ubat.
Akibatnya, klinik-klinik swasta kini mengalami penyusutan bekalan ubat demam, batuk dan antibiotik.
“Kami dimaklumkan kekurangan bekalan ubat ini mungkin dapat diatasi dalam tempoh sebulan ini tetapi yang membimbangkan kami ialah ada juga yang memaklumkan ia berlarutan sehingga akhir tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Meskipun keadaan belum pada tahap meruncing namun beliau berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu ini memandangkan negara berdepan dengan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan bekalan ubat berkenaan adalah kritikal.
Dr Boi Saidi berkata, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) ambil maklum tentang isu ini dan percaya masalah ini sudah sampai ke ‘telinga’ KKM.
“Ini adalah masalah syarikat pembekal, bukan KKM tetapi kami percaya KKM akan ambil peduli isu ini,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Dr Boi Saidi menambah, buat masa ini kebanyakan klinik swasta masih ada bekalan untuk tempoh sebulan, dua lagi.
“Ini pun (bekalan) mengambil kira janji pembekal untuk mengatasi masalah ini dalam bulan ini. Itu pun mereka berharap isu bekalan bahan mentah dapat diatasi.
“Cuma Perdim berharap pembekal dapat patuhi janji-janji itu,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Perdim, Dr Norzaidi Zakaria pula berkata, kekurangan bekalan bahan mentah yang dijadikan alasan pembekal seperti tidak logik kerana ia berlaku setiap tahun.
Namun, masalah bekalan dapat diselesaikan setiap kali pembekal menaikkan harga ubat.
“Sebab itu bagi saya masalah ini tidak logik langsung, lantaran itu KKM perlu mengambil isu ini dengan serius bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan.
“Kenaikan harga ubat ini jika berlaku pada tahun ini, ketika rakyat resah dengan kenaikan harga makanan, pastinya akan menyukarkan lagi rakyat dan kerajaan.
“Apabila harga ubat naik, klinik juga perlu menaikkan harga. Malah kerajaan juga perlu menanggung subsidi lebih tinggi untuk bekalan ubat di hospital dan klinik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette