Banyak klinik swasta di Negeri Johor mengalami bekalan ubat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peningkatan permintaan mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan di pasaran dikatakan punca berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal di negara ini.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Norhaliza A. Halim menjelaskan, kekurangan bekalan dikatakan melibatkan ubat-ubatan rawatan demam, selsema, batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

“KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi telah mengadakan perjumpaan dengan pihak industri farmaseutikal iaitu Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) semalam.

“Hasil maklum balas yang diterima daripada pihak industri menunjukkan terdapat peningkatan permintaan yang mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol (bagi rawatan demam dan sakit yang ringan), vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, jelas Norhaliza, pada masa ini tiada produk yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

Tambah beliau, pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi.

“KKM juga pada masa yang sama sedang mendapatkan maklumbalas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu-isu yang berkaitan dengannya.

“Pemantauan yang ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu yang dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia,” tegasnya. – MalaysiaGazette