Seorang jururawat berputih mata setelah  kerugian sebanyak RM21,130 akibat terlibat dalam pelaburan saham tidak wujud di Temerloh semalam.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang jururawat berputih mata setelah  kerugian sebanyak RM21,130 akibat terlibat dalam pelaburan saham tidak wujud di Temerloh semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa mengalami kerugian setelah melakukan enam kali transaksi dalam tempoh bermula 29 Mei sehingga 2 Jun lalu.

Pengadu pada mulanya berminat setelah melihat sebuah iklan pelaburan saham di aplikasi Tiktok dengan menghubungi nombor telefon yang tertera di dalam iklan tersebut.

“Pengadu telah berhubung dengan suspek telah diterangkan berkenaan pelaburan tersebut dan dimaklumkan syarikat pelaburan terlibat dalam saham emas, patroleum dan gas, katanya.

Mangsa berusia 44 tahun telah ditawarkan empat pakej pelaburan dan memilih pakej gold iaitu bayaran sebanyak RM250 dan dalam masa lapan hingga 12 jam akan menerima pulangan sebanyak RM7,800.

Pengadu juga telah memberikan maklumat diri sepertimana yang telah diminta oleh suspek bagi memulakan pelaburan tersebut.

“Dalam tempoh itu, mangsa melakukan enam kali transaksi wang berjumlah RM20,130 ke dalam pelbagai akaun bank atas nama individuberlainan.

“Malahan suspek turut meminta pengadu membayar  RM5,620 sebagai komisen staf pelaburan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Namun pengadu enggan membuat pembayaran dan merasakan dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis.

Kes disiasat  di bawah Sesyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan

Justeru polis menasihat orang ramai supaya tidak mudah mempercayai apa-apa pelaburan yang begitu mudah menjana keuntungan berlipat-ganda dalam masa yang singkat.

Semakan akaun bank atau panggilan telefon yang mencurigakan sebelum melakukan apa-apa transaksi bank melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule.  – MalaysiaGazette