SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencabar bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk membuktikan wujudnya undi yang meragukan dalam Pemilihan PKR 2022.
Amirudin berkata, adalah tidak adil jika beliau sendiri mengesahkan wujud undi meragukan sedangkan Pengerusi PKR Selangor itu sendiri merupakan calon yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden dan Ketua Cabang Gombak.
“Buktikan lah, saya tak tahu, kerana saya tak terlibat dalam teknikal dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR.
“Saya sah seorang yang bertanding, tidak adil untuk saya mengatakan teknikalnya betul atau tidak,” katanya kepada pemberita di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.
Pada 29 Mei lalu, Farhash mendesak supaya audit forensik dilakukan berkaitan pemilihan parti dengan memetik percanggahan antara bilangan undian dikira berbanding jumlah pengundi.
Farhash turut mendakwa, bilangan undi dibuang tidak selaras dengan jumlah pengundi yang hadir bagi proses undian di Cabang PKR Gombak.
Dalam pada itu, Amirudin juga menyerahkan perkara itu kepada pihak JPP PKR untuk membuktikan dakwaan Farhash sama ada berasas atau sebaliknya.
“Biarkan JPP sahkan dan mereka tunjukkan bukti.
“Jangan bukti itu propaganda saja dan ia harus dibuktikan dalam jawatankuasa,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berasa teruja apabila beliau menang besar dalam Pemilihan PKR 2022 bagi kedua-dua jawatan yang ditandinginya.
“Agak mengejutkan juga menang besar di peringkat kebangsaan dan di Gombak dapat mandat yang selesa untuk meneruskan.
“Ini menunjukkan bahawa kepercayaan orang Gombak lebih majoriti kepada saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette