MELAKA – Pemandu Perodua Myvi yang dipercayai mabuk sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) dalam kemalangan di Jalan Serkam Pantai, Jasin semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap pemuda berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nabihah Mohd. Noor sehingga 10 Jun ini.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, pemuda terbabit yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9.50 pagi sebelum dan proses permohonan reman selesai kira-kira jam 11 pagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki ketika dihubungi berkata, suspek ditahan semalam di tempat kejadian.

Menurut beliau, semakan lanjut mendapati suspek turut mempunyai enam rekod saman membabitkan kesalahan lalu lintas.

“Laporan perubatan ujian alkohol daripada pihak hospital masih belum diperolehi dan dijangka akan diketahui seminggu lagi,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan dalam kejadian pagi 7.45 pagi itu, pasangan OKU bisu terbabit Ezuddin Mohammad, 50 dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal maut selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin.

Nahas turut melibatkan seorang daripada dua lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh pemandu kereta berkenaan cedera di bahagian badan.

Siasatan awal mendapati, operator kilang berusia 24 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dari arah Merlimau ke Melaka telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. – Malaysiagazette