Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Ahmad Jefferi Abdullah menunjukkan dadah jenis ganja yang telah dirampas oleh polis selepas kejayaan polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 JUN 2022.

SHAH ALAM – Satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang menyewa kereta mewah untuk mengangkut bekalan ganja gred tinggi tumpas dengan penahanan tiga lelaki dalam satu serbuan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di ibu negara, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta Proton Preve membawa kepada penemuan 145 kilogram ganja yang telah dimampatkan.

“Nilai kesemua dadah yang dirampas dari ketiga-tiga suspek itu adalah dianggarkan bernilai RM355,250,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Dadah yang dirampas itu diklasifikasikan bergred tinggi berdasarkan bungkusannya berwarna emas dan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas dan menyita aset bernilai RM138,000 milik suspek iaitu sebuah kereta Proton Preve, Toyota Vellfire dan Proton Iswara yang disyaki digunakan dalam kegiatan haram itu.

Tambah beliau, tiga suspek yang berusia 29 tahun hingga 49 tahun yang disyaki ahli sindiket itu juga merupakan ‘transporter’ dadah.

Antara ketulan mampat dadah jenis ganja yang telah dirampas oleh pihak polis ketika sidang media berkenaan kejayaan polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 JUN 2022.

Menurut Ahmad Jefferi, siasatan lanjut mendapati sindiket tersebut beroperasi sejak empat bulan lalu untuk menyeludup dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi yang digunakan ahli sindiket berkenaan adalah mereka meletakkan dadah berkenaan dalam kereta Preve di tempat letak kenderaan tempat tumpuan umum mengelak aktivitinya diragui dan dihidu pihak berkuasa.

“Manakala, pengangkut lain yang diupah RM2,500 oleh ahli sindiket itu datang mengambil barang untuk diedarkan kepada pelanggan masing-masing di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Ahmad Jefferi berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan Toyota Vellfire yang disewa pada kadar RM500 sehari untuk mengambil bekalan dadah dari negara jiran di utara semenanjung dan membawanya ke Lembah Klang.

Katanya, dua daripada tiga suspek yang dilibatkan dalam ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Ketiga-tiga suspek berkenaan turut mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah dan mereka kini direman sejak 1 Jun lalu sehingga hari ini untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan kes,” katanya.

Menurut Ahmad Jefferi, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pihaknya percaya dalang utama sindiket tersebut masih bebas dan polis sedang mempergiatkan usaha untuk menjejaki mereka. – MalaysiaGazette