Pemain Malaysia, Mohamad Faisal Halim meraikan gol kedua Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan pada perlawanan bola sepak dalam aksi kelayakan kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Walaupun bertubuh kecil berbanding pemain lawan, Mohamad Faisal Halim berjaya memukau penonton apabila membantu Harimau Malaya membuka gol kedua dalam aksi menang 1-3 bertemu Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Apa yang menarik adalah gol itu merupakan jaringan pertama dalam karier antarabangsan bersama Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan Gon.

Ternyata Faisal tidak mensia-siakan-siakan peluang beraksi dalam kesebelasan utama serta kepercayaan yang diberikan Kim Pan Gon terhadapnya.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan penting Kumpulan E Pusiangan Kelayakan Piala Asia 2023 itu, Faisal berkata dia sendiri tidak menjangkakan boleh menjaringkan gol itu.

Katanya, jaringan itu adalah penghargaan kepada semua pemain dan ketua jurulatih yang melatihnya dengan segala kemahiran serta latihan permainan berintensiti tinggi di atas padang.

“Gol itu bukan sumbangan saya seorang sahaja sebenarnya ia mewakili semua rakan sepasukan serta Kim Pan Gon yang mana kerja keras kami selama ini membuahkan hasilnya memenangkan tiga mata penting dalam aksi pertama ke atas pasukan yang kuat.

“Saya sendiri tidak menjangkakan boleh menghadiahkan gol kedua begitu awal pada 20 minit pertama terhadap pasukan kuat (Turkmenistan) dan kawal permainan…segalanya menjadi malam ini yang berkemungkinan disebabkan padang ini.

Menurut Faisal, walaupun tidak berada di posisi yang terbaik untuk terus merembat dan menghasilkan gol namun dia menggunakan setiap langkah membolosi gawang lawan yang menyaksikan jaringan kedua bagi Harimau Malaya..

“Semua ini terhasil disebabkan permainan berintensiti dan pantas membantu saya yang berbadan kecil untuk bersaing dengan pemain lawan berbadan besar atas padang,” tegasnya.

Faisal juga mengakui agak kecewa apabila pengadil tidak memberikan keputusan yang adil selepas beberapa kali diterjah dan dijatuhkan oleh pemain lawan.

Namun, dia akur kerana berbanding liga domestik, pengadil dalam perlawanan antarabangsa sememangnya tegas dan tidak akan mengadili seperti dikehendaki pemain.

“Kita juga perlu meneruskan permainan tanpa menunggu wisel ‘foul’ daripada pengadil dan membuang masa, perlu bangun dan terus kejar bola,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast