Home Nasional Harga sarapan pagi di P.Pinang naik 20 sen hingga RM1

Harga sarapan pagi di P.Pinang naik 20 sen hingga RM1

GEORGE TOWN – Kekurangan bekalan bahan mentah memberi kesan bukan sahaja kepada  peniaga tetapi turut menyebabkan kenaikan harga makanan.

Berdasarkan tinjauan MalaysiaGazette, rata-rata kedai yang menyediakan sarapan pagi di negeri ini menunjukkan peningkatan harga antara 20 sen hingga RM1.

Kenaikan harga tersebut melibatkan makanan dan minuman seperti roti canai, roti bakar, telur separuh masak, teh tarik, milo dan beberapa minuman lain.

Pemilik gerai roti canai Jalan Transfer, Shahjahan Abdul Hamid, 49, mengakui terpaksa menaikkan harga roti canai sebanyak 20 sen susulan harga tepung naik mendadak.

Shahjahan.

Selain roti canai, harga seketul ayam yang disajikan bersama roti itu turut dinaikkan RM1 berbanding harga asal RM6.

“Dulu saya jual sekeping roti canai RM1 tetapi sejak dua minggu lalu saya terpaksa naikkan harga kepada RM1.20 susulan harga tepung gandum naik mendadak.

“Sebelum ini saya beli tepung RM60 minggu lepas naik RM70 dan terkini iaitu semalam saya beli pada harga RM77 seguni.

“Isu yang sama juga membabitkan harga ayam mentah menyebabkan kami terpaksa menaikan harga jualan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Santamadar.

Menurut peniaga roti bakar, Santamadar Mastan, 57,  harga roti bakar bersama telur separuh masak kini naik 50 sen berbanding harga lama RM4.

Jelasnya, dia kini terpaksa menggunakan telur ayam kampung menggantikan telur biasa susulan bekalan telur sukar diperoleh.

“Bukan saja harga telur, harga roti benggali, arang serta planta juga mengalami kenaikan.

“Saya tiada pilihan selain menaikkan harga kerana kadar barang mentah yang dibeli kini mahal satu kali ganda dan rata-rata pembekal memberi alasan ia berpunca daripada perang di Ukraine,” katanya yang sudah menjalani perniagaan tersebut hampir 20 tahun.

Peniaga terpaksa menggunakan telur kampung bagi menggantikan telur biasa yang didakwa sukar mendapat bekalan.

Sementara itu, Abdullah Katheen, 37, berkata, harga minuman di gerainya dinaikkan antara 20 hingga 50 sen bagi setiap jenis.

“Harga susu, milo, nescafe, limau semua naik jadi kami terpaksa naikkan harga jualan juga.

Abdullah.

“Dulu harga segelas teh tarik RM1.30 kini terpaksa dinaikkan pada harga RM1.50 namun bagi minuman Milo serta Nescafe menunjukkan peningkatan sebanyak 50 sen,” katanya yang beroperasi di Lorong Dato Koyah. – MalaysiaGazette