Onn Hafiz Ghazi (tengah) menerima dokumen melibatkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Pasir Gudang 2030 di Menara Aqabah, Pasir Gudang, Johor petang tadi.

PASIR GUDANG – Kerajaan Johor komited untuk memastikan sektor ekonomi kembali berdaya saing dalam pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ia termasuk menarik kehadiran pelabur khususnya melalui pelaksanaan inisiatif Greater JB (Johor Bahru).

Perancangan itu akan membabitkan penyelarasan melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan juga Majlis Perbandaran Kulai.

Ianya juga akan melibatkan penambahbaikan yang akan mengurangkan kerenah birokasi bagi syarikat yang mahu menjalankan perniagaan, katanya.

“Greater JB ini tujuannya adalah untuk menyelaraskan perkhidmatan kepada rakyat melibatkan sistem perlesenan, perkhidmatan, cukai melalui langkah fast track yang akan dilancarkan Menteri Besar Johor pada hujung bulan ini.

“Langkah fast track ini akan beri kelulusan segera terhadap sektor industri dan pelabur yang datang ke Johor, tujuannya adalah untuk mengurangkan birokasi.

“Kalau dulu buat kilang kena tunggu kilang siap baru mesin boleh masuk, yang akan diimplementasikan ini adalah kilang siap 80 peratus mesin sudah boleh masuk dan diuji.

“Kemudian, sebelum kilang siap sudah boleh membuat permohonan untuk mendapatkan lesen Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). Sebelum ini kena tunggu kilang siap dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Menara Aqabah petang tadi.

Jafni berkata, kaedah yang sama juga akan membolehkan lesen akan diberi dalam tempoh sehari berbanding dua minggu buat industri yang tidak berisiko.

Inisiatif Greater JB juga dilihat akan memberi kesan terhadap sosial, kebersihan dan juga keselamatan penduduknya.

“Kita akan turut lakukan penambahbaikan terhadap aspek lanskap termasuklah di Bangunan Sultan Iskandar untuk mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negeri ini.

“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa,” jelasnya. – MalaysiaGazette