MELAKA – Hampir 70 nelayan di Pantai Puteri, Pantai Kundor di sini merayu kerajaan mempercepatkan pembinaan rumah bot yang musnah dipukul ribut sejak 11 tahun lalu.
Wakil nelayan, Abdul Zamzuri Abdullah, 52, berkata, keadaan itu menjadikan kira-kira 12 rumah nelayan di Pengkalan Perigi, Pantai Rombang terdedah kepada cuaca hujan dan panas menjadikanya lebih cepat rosak berbanding sebelum ini.
Menurutnya lebih buruk, keadaan itu mencacatkan pemandangan pantai pelancongan itu apabila lebih 10 bot nelayan di situ terpaksa diletakkan sesuka hati kerana ketiadaan ruang parkir yang sesuai.
“Jadi, saya mohon kerajaan khususnya agensi berkaitan bantulah kami nelayan yang sudah sekian lama menunggu peruntukan untuk membina semula rumah bot nelayan yang musnah dipukul ribut 11 tahun lalu selepas setahun ia dibina pada 2012.
“Kalau boleh, biarlah rumah baharu yang akan dibina nanti lebih kukuh kerana cuaca ribut di sini memang tidak menentu sekaligus tidak menjadikan bot kami garing seperti ikan masin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi nelayan, Rosli Ahmad, 52, berkata, ketiadaan rumah bot nelayan yang sempurna menyebabkan bot fiber nelayan berharga antara RM30,000 hingga RM40,000 sebuah lebih cepat rosak dan merugikan mereka.
“Bayangkan, sudahlah bot terdedah pada cuaca panas di tengah laut dan semasa di darat ketika ia tidak digunakan, ia berjemur pula di bawah panas terik matahari mengakibatkan jangka hayat bot semakin pendek.
“Kalau ada pondok, mungkin bot boleh tahan sampai 10 tahun tanpa kerosakan besar berbanding mungkin hanya bertahan setakat tujuh tahun sahaja sekaligus merugikan nelayan,” katanya.
Justeru beliau berharap agensi berkenaan dapat mempercepatkan pembinaan pondok berkenaan demi kebajikan nelayan di Pantai Puteri yang tidak mempunyai pendapatan lain. – MalaysiaGazette