KUALA LUMPUR – “Ini adalah malam terindah untuk saya, pasukan dan semua penyokong Harimau Malaya, saya tak harapkan besar tapi mereka memberikan 120 peratus komitmen memberangsangkan atas padang malam tadi…Harimau Malaya mula menunjukkan karakter sebenar!
Itu reaksi keterujaan Kim Pan Gon selaku Ketua Jurulatih pasukan Malaysia yang mencatatkan kemenangan bergaya ke atas pasukan Turkmenistan dalam aksi pertama Kumpulan E Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Malaysia tidak mengambil masa yang lama apabila membuka gol pertama pada minit ke-11 menerusi Safawi Rasid disusuli Faisal Halim pada minit ke-16 dan Corbin Ong pada minit ke-45 separuh masa pertama.
Gol tunggal Turkmenistan hadir menerusi Altymyrat Annadurdyyev pada minit ke-38 hasil kesilapan di bek pertahanan skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Pan Gon merakamkan setinggi penghargaan kepada lebih 20,000 penyokong dan Ultras Malaya yang membanjiri stadium memberikan sokongan yang padu untuk aksi anak buahnya malam tadi.
Menurut Ketua Jurulatih warga Korea Selatan itu, beliau bangga dengan pemain pasukannya atas pencapaian memungut tiga mata berharga itu.
“Ini adalah salah satu malam terindah untuk kami, dapat melihat kegembiraan dan rasa puas yang terpancar pada wajah semua pemain saya serta para penyokong.. Harimau Malaya sudah menunjukkan karakter sebenarnya.
“Seperti yang ditetapkan kami merancang perlawanan ini dengan tepat dan teratur sehingga membolehkan pemain dapat mendominasi permainan dengan penuh tenaga, intensiti dan semangat juang yang tinggi sepanjang 90 minit di atas padang tadi.
“Saya tidak harapkan besar dan minta mereka laksanakan seperti dirancang tetapi mereka memberikan komitmen 120 peratus daripada yang saya harapkan, saya bangga dengan semangat ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.
Ditanya mengenai kesilapan di bek pertahanan sehingga membolos gol mudah ketika mendahului lawan dengan dua gol malam tadi, katanya itu adalah adat manusia biasa.
Pun begitu sebagai mempertahankan anak buahnya, Pan Gon berkata pemainnya berjaya bangkit segera membetulkan kesilapan itu atas padang.
“Bentuk mentaliti permainan berintensiti tinggi dan mendominasi yang saya cuba terapkan membuahkan hasil dan dibuktikan pemain malam tadi maka adalah tidak wajar saya lihat kepada kesilapan individu itu.
“Kita akan terus kekalkan momentum permainan ini dengan latihan secara berterusan selepas ini untuk persiapan menghadapi perlawanan akan datang Sabtu ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette