Najib dan peguamnya ketika sidang akhbar pada 7 Jun lalu (kiri) dan Abdul Fareed Abdul Gafoor.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya membuat permohonan membatalkan sabitan kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. lebih awal.

Abdul Fareed Abdul Gafoor

Menurut peguam Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, Najib seharusnya mengemukan permohonan berkenaan ketika perbicaraan tersebut berlangsung di peringkat Mahkamah Tinggi.

“Permohonan Datuk Seri Najib untuk membatalkan pensabitan kes berkaitan SRC International apabila mendakwa hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mempunyai konflik berkepentingan sepatutnya dibuat lebih awal semasa perbicaraan yang panjang di peringkat Mahkamah Tinggi lagi,” kata Abdul Fareed kepada MalaysiaGazette.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia itu diminta mengulas mengenai laporan media pada 7 Jun lalu bahawa Najib telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk membuat permohonan membatalkan sabitan kes penyelewengan dana milik SRC International.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

 

Antara alasan yang diberikan Najib adalah kerana Mohd. Nazlan yang menjatuhkan hukuman terhadapnya pada Julai 2020 pernah menjawat jawatan setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang Kumpulan Maybank pada 2012.

Hakim itu juga gagal mendedahkan peranan beliau dalam pinjaman yang dilakukan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Maybank bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (Tanjong).

Sementara itu, Abdul Fareed berpendapat Mohd. Nazlan sudah membuat pertimbangan yang sepatutnya sebelum bertindak sebagai hakim bicara untuk kes tersebut.

Jelas beliau, adalah menjadi suatu prinsip asas bahawa seorang hakim tidak harus menyerah kepada apa-apa tekanan untuk menarik diri jika tiada alasan yang sah atau mencukupi untuk berbuat demikian.

“Seseorang hakim menikmati anggapan kesaksamaan dalam pelaksanaan fungsi kehakiman mereka. Walaupun anggapan sedemikian boleh disangkal tetapi hanya boleh dilakukan dengan bukti yang kukuh dan dalam kes yang sesuai sahaja.

“Seksyen 5 Kod Etika Hakim 2009 menyatakan mana-mana hakim dalam menjalankan fungsi kehakiman mereka, perlu bertindak secara bebas berdasarkan penilaian fakta dan selaras dengan pemahamannya tentang undang-undang, bebas daripada pengaruh luar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau atas sebarang sebab,” katanya.

Abdul Fareed bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai permohonan Najib sehingga bekas perdana menteri itu mengemukakan bukti terhadap dakwaan yang dibuat ke atas Mohd. Nazlan di mahkamah.

Dalam sidang medianya pada 7 Jun lalu, Najib berkata, pihaknya akan mengemukakan bukti-bukti baharu berkaitan permohonan membatalkan sabitan kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Lebih RM4 bilion pinjaman Maybank diberikan kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong yang melalui pelbagai proses, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga (Lembaga Pengarah Maybank).

Salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapat arahan adalah Mohd Nazlan selaku Ketua Undang-Undang, Penasihat Undang-Undang Kumpulan Maybank dan Ketua Bahagian Korporat Dan Undang-Undang Undang Kumpulan Maybank.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mahkamah mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International. – MalaysiaGazette