Pelanggan kedai makan di negeri ini harus lebih bijak memilih premis menyediakan perkhidmatan terbaik berbanding memilih premis yang sudah diketahui mempunyai masalah sebelum ini.- Gambar hiasan.

MELAKA – Pelanggan kedai makan di negeri ini harus lebih bijak memilih premis menyediakan perkhidmatan terbaik berbanding memilih premis yang sudah diketahui mempunyai masalah sebelum ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemilik restoran yang bersikap biadap terhadap pelanggannya.

Sebaliknya menurut beliau, agensi penguatkuasaan hanya mampu menasihati penggguna supaya lebih bijak dan tidak memilih kedai yang mempunyai masalah sikap dan pernah ditularkan sebelum ini.

“Kalau sudah tahu kedai itu ada masalah sikap dan masih memilih untuk pergi, tanggunglah sendiri akibatnya kerana sebagai pengguna, kita mempunyai pilihan untuk memilih.

“Sebaik-baiknya, elak pergi kedai yang ada masalah kerana di Melaka masih ada banyak tempat lain menyediakan masakan yang lebih sedap,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap biadap dipercayai pekerja sebuah restoran asam pedas di Banda Hilir di sini yang memarahi pelanggannya dengan perkataan menghina.

Sebelum ini, restoran sama dikatakan pernah tular apabila dipercayai pekerjanya juga memarahi pelanggan sehingga mendapat pelbagai reaksi masyarakat yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha restoran terbabit.

Dalam kejadian terbaharu, satu klip video berdurasi 51 saat yang tular di media sosial sejak semalam di mana seorang pelanggan dari Singapura diherdik dengan perkataan yang menggambarkan mereka sekeluarga tidak mampu menikmati menu di restoran asam pedas berkenaan.

Mengulas lanjut, Norena berkata, setakat ini, KPDNHEP negeri tidak menerima sebarang aduan kesalahahan dilakukan premis terbabit.

“Kita juga pernah beberapa kali buat pemantauan dan dapati harga ditawarkan berpatutan dengan kadar semasa yang tidak membebankan pengguna.

“Sekiranya ada laporan di bawah bidang kuasa kami, tindakan segera akan diambil tetapi jika ianya melibatkan sikap dan sebagainya, itu pelanggan kena tanggung sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette.