JERANTUT – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menubuhkan Pasukan Nature Lifeguard pertamanya di Taman Negara Kuala Tahan bagi meningkatkan tahap keselamatan pelancong ke kawasan peranginan hutan tropika berusia 130 juta tahun itu.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali berkata, seramai 20 orang yang terdiri daripada ahli APM termasuk penduduk Orang Asli etnik Bateq menyertai pasukan yang pertama ditubuhkan di negara ini.
“Keselamatan pelancong di Kuala Tahan ini amat dititikberatkan oleh semua pihak berwajib, justeru kewujudan Pasukan Nature Lifeguard ini juga dapat memberi kesan yang positif yang boleh memberi keyakinan kepada pelancong.
“Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, tindakan pantas membantu dan menyelamat dapat dilakukan petugas sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan dapat ditingkatkan dan risiko kecederaan atau bahaya kepada mangsa dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jelas beliau, penubuhan pasukan penyelamat itu secara tidak langsung bermanfaat buat pelancong yang berkunjung ke Taman Negara kerana mereka akan rasa lebih selamat.
Pemilihan Taman Negara Kuala Tahan adalah sangat tepat sekali kerana merupakan destinasi pelancongan alam semulajadi yang utama di Pahang.
Keindahan dan keunikan Taman Negara ini menjadikan ianya sebagai destinasi pilihan bagi pelancong asing serta domestik.
Menerusi sumber portal Tourism Pahang, statistik Ketibaan pelancong di Kuala Tahan telah merekodkan seramai 89,000 orang pada 2017, 83,000 orang (2018) dan 77,000 orang (2019).
Sementara itu, peserta dalam kalangan angora APM yang dipilih pula adalah mereka yang terlatih.
“Pasukan ini juga telah dilengkapkan dengan peralatan menyelamat serta kemahiran menolong seperti asas pertolongan cemas, asas renang, asas menyelamat di air, search and rescue serta berkemahiran mengendalikan bot.
“Pihak Tourism Pahang selaku badan yang mengawal selia ketibaan pelancong yakin dengan kemampuan anggota-anggota Pertahanan Awam untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.
Selain itu Pasukan Surf Lifeguard pula ditempatkan menjaga keselamatan pengunjung pantai Teluk Chempedak, Pantai Sepat, Pantai Batu Hitam, Pantai Taman Laut Pulau Tioman serta akan datang di Pantai Hiburan, Rompin.
Sebelum itu, Sh. Mohamed Puzi turut menyampaikan sebuah enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (MAPIM) kepada Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman di sini hari ini.
Sumbangan berkenaan bagi digunakan oleh pasukan Nature Lifeguard dan sukarelawan APM Kuala Tahan untuk kegunaan kerja menyelamat dan menghantar bantuan. – MalaysiaGazette