JAKARTA – Menteri-menteri luar ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman sesawang ASEAN, para menteri berkata, perkembangan membimbangkan ini mencerminkan ketegangan di Semenanjung Korea semakin meruncing serta mengancam keamanan dan kestabilan di rantau ini dan di dunia.
Menteri-menteri luar ASEAN menggesa Korea Utara meredakan ketegangan dan mengelakkan segala tindakan yang mungkin memburukkan keadaan serta mematuhi semua Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan.
Usaha diplomatik, termasuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk sesi dialog antara semua pihak yang berkenaan harus kekal menjadi keutamaan.
Menteri-menteri luar ASEAN juga bersedia memainkan peranan membina, termasuk melalui penggunaan mekanisme yang diterajui ASEAN, seperti Forum Serantau ASEAN bagi mencari penyelesaian secara aman untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.
Korea Selatan dan Amerika Syarikat melancarkan lapan peluru berpandu permukaan ke permukaan pada Isnin sebagai tindak balas terhadap lapan peluru berpandu yang dilancarkan Korea Utara Ahad lalu. – Bernama