KUALA LUMPUR – Hukuman mati tetap ada cuma ia bukan lagi mandatori bagi memberi pilihan kepada hakim menggunakan budi bicara masing-masing dalam memutuskan hukuman.
Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, setiap manusia ini perlu diberikan peluang kedua untuk hidup yang mana hakim akan mempunyai dua pilihan.
“Kalau dia rasakan orang itu memang penjeyah tegar, memang pengedar dadah yang menyebabkan beratus ribu orang mati dia dihukum mati, boleh dia (hakim) dibenarkan untuk menjatuhkan hukuman mati.
“Tapi kalau dia (hakim) rasa dari segi budi bicara dia kata nak beri hukuman seumuir hidup dengan sebat sekali jadi dia kata dia boleh pinda hukuman mandatori itu,” katanya menerusi hantaran, Facebook, hari ini.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Kata Wan Junaidi, Jemaah Menteri telah bersetuju penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
Menurut Ismail Sabri, pada dasarnya kerajaan bersetuju tentang perkara tersebut namun terdapat beberapa pandangan daripada menteri terbabit yang perlu diambil perhatian supaya pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diperkemaskan.
“Kita bersetuju lah supaya diberikan kepada pilihan, hukuman pilihan hukuman mati pun boleh atau kalau dia rasakan perlu hukuman lain seumur hidup sebat dan sebagainya
“Jadi berikan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara hukuman mati kekal, tetapi pilihan, tidak lagi mandatori,” ujar Perdana Menteri. – MalaysiaGazette